Hujahan kes bunuh Zaharif ditangguh Januari depan - Utusan Malaysia

Hujahan kes bunuh Zaharif ditangguh Januari depan

MOHD. Nazri Abdul Razak dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bagi hujahan lisan perbicaraan kes bunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hujahan lisan perbicaraan kes bunuh pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie membabitkan pegawai kanan polis di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguhkan kepada 14 dan 15 Januari 2026.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh baharu itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Pendengaran hujahan tersebut sebelum ini telah ditetapkan selama dua hari bermula hari ini dan esok.

Terdahulu, Afzainizam memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa untuk membalas hujahan yang difailkan secara bertulis oleh pihak pembelaan pada 19 dan 30 September lalu.

“Jika diizinkan, pihak pendakwaan memohon tempoh masa sebulan untuk membalas hujahan bertulis tersebut,” katanya.

Sementara itu, peguam bela, M. Athimulan yang mewakili Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 46, memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan hujahan bertulis setebal 118 dan 15 muka surat.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala pihak pembelaan pula dibarisi peguam-peguam bela, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Pada 17 Januari lalu, pihak pendakwaan menutup kes itu selepas memanggil seramai 33 saksi untuk memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh dengan saksi terakhir merupakan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden, S. Dasarathan.

Selain kakak dan bapa kandung Muhammad Zaharif Affendi, turut dipanggil memberi keterangan ialah tujuh saksi kanak-kanak yang memberi keterangan secara tertutup sejak kes itu mula dibicarakan pada 5 November lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi, 17.

Perbuatan tertuduh itu dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN