HRD Corp kutip RM6.17 bilion levi dalam tempoh 3 tahun 

HRD Corp kutip RM6.17 bilion levi dalam tempoh 3 tahun 

STEVEN Sim Chee Keong merasmikan Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 di MITEC. UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM6.17 bilion levi telah dikutip oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dalam tempoh tiga tahun dari 2023 hingga Ogos tahun ini bagi tujuan melatih pekerja di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM5.77 bilion atau hampir 94 peratus telah digunakan semula bagi melatih kira-kira empat juta pekerja di seluruh negara dalam tempoh empat tahun ini.

Katanya, daripada kutipan itu, sebanyak RM5.77 bilion telah disalurkan semula untuk latihan tenaga kerja negara. 

“Orang ramai selalu kata kerajaan hanya umum berapa banyak levi dikutip, tapi tak beritahu berapa dibelanjakan.

“Hakikatnya, kita juga telus dalam melaporkan perbelanjaan yang digunakan,” katanya ketika merasmikan NHCCE 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini. 

Selain itu, Steven Sim berkata, kira-kira RM25 juta juga telah diperuntukkan khusus untuk kursus kemahiran berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi maklumat (IT), melibatkan lebih 20,000 pekerja.

Katanya, meskipun jumlah yang dilaburkan dilihat besar, namun ia masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran kerja berasaskan teknologi baharu.

“Oleh itu, HRD Corp dengan kerjasama  Kementerian Sumber Manusia akan terus memperluas program latihan, termasuk menyediakan kursus percuma untuk membantu rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, Malaysia menyasarkan untuk mencapai kadar 35 peratus pekerja berkemahiran menjelang tahun 2030. 

Namun, katanya, bagi mencapai matlamat tersebut, negara memerlukan jutaan tenaga pengajar dan juruteknik, sekali gus menuntut pelaksanaan program latihan yang lebih menyeluruh dan tersusun.

“Kajian pada tahun 2022 menunjukkan hampir separuh daripada pekerja dalam sektor gig hanya memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau diploma. 

“Kumpulan itu berpotensi besar untuk mengisi kekosongan pekerjaan berkemahiran tinggi, namun potensi tersebut masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kerja gig memang memberi pendapatan segera, tetapi pendidikan dan kemahiran mereka tidak digunakan secara optimum.Ini bukan sahaja merugikan individu, malah turut menjejaskan aspirasi negara ke arah ekonomi bernilai tinggi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN