PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini memutuskan bahawa tiada sebarang perubahan terhadap garis panduan sedia ada membabitkan penganjuran acara yang melibatkan penyajian arak di dewan sekolah seperti yang dibangkitkan di Dewan Rakyat semalam.
Bagaimanapun, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut perlu dirujuk kepada Kementerian Pendidikan (KPM) tanpa menerangkan apa-apa tentang garis panduan berkenaan.
“Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa garis panduan serta amalam sedia ada adalah terpakai. Tidak ada perubahan kepada garis panduan sedia ada.
“Mungkin terdapat persoalan yang dibangkitkan oleh media, namun penjelasan lanjut akan diberikan oleh Kementerian Pendidikan susulan sidang media ini. Dan saya minta agar media untuk merujuk kepada KPM,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat menegaskan sebarang aktiviti membabitkan arak dan perjudian tidak boleh sama sekali diadakan di dewan sekolah kerana melanggar konsep dan falsafah pendidikan negara.
Kenyataan Anwar itu kemudiannya turut menerima reaksi daripada penasihat DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan kenyataan Perdana Menteri sebagai ‘menjolok sarang tebuan’, kerana ia menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Cina, apabila ia dilihat sebagai mengganggu amalan sedia ada.
Ditanya mengenai laporan sebuah akhbar bahawa garis panduan itu tidak terpakai oleh sekolah jenis kebangsaan Cina, justeru, fasiliti itu boleh menyajikan alkohol dalam acara yang dianjurkan, Fahmi sekali lagi mengulangi bahawa garis panduan sedia ada adalah terpakai.
“Sesetengah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), ada yang mendapat bantuan penuh, ada yang fasiliti dibangunkan dan dijaga oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) atau dibangunkan oleh pihak swasta. Jadi ada beberapa perkara yang terpakai khusus untuk sekolah-sekolah Cina. Tapi boleh rujuk kenyataan yang akan dikeluarkan KPM,” ujarnya. – UTUSAN










