PETALING JAYA: Malaysia menaruh harapan tinggi persetujuan dicapai antara Thailand dan Kemboja dalam proses rundingan damai pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) ke-2 yang berlangsung hari ini, berkekalan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Khas GBC ke-2 antara Thailand dan Kemboja di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
Katanya, Malaysia berharap agar persetujuan yang dicapai pada hari ini, serta proses damai yang sedang dilaksanakan akan terus dihormati demi menjamin keamanan yang berkekalan di kawasan sempadan.
“Malaysia berbangga menjadi tuan rumah dan menjalin hubungan erat dengan dua negara sahabat ini, mencerminkan peranan aktif negara dalam memupuk keamanan dan kestabilan di rantau ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, sebagai fasilitator, Malaysia kekal komited menyokong kedua-dua negara dalam usaha memperkukuh keamanan dan kestabilan di sepanjang sempadan.
“Ia selaras dengan semangat persefahaman bersama serta kerjasama serantau di bawah payung ASEAN,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, selepas mesyuarat selesai, beliau berkesempatan bertemu dengan Menteri Pertahanan Thailand, Natthaphon Narkphanit dan Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Tea Seiha. -UTUSAN










