Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober ini justeru Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berharap agar sektor pendidikan akan terus menerima peruntukan yang signifikan demi masa depan cemerlang generasi Madani.
Belanjawan kali ini diharap dapat membuka ruang baharu serta memberikan sinar buat masa depan anak-anak, selain memastikan persekitaran sekolah yang lebih kondusif, selamat dan sejahtera.
Antara harapan utama PIBG yang telah lama diutarakan ialah kelulusan pemberian pengecualian cukai bagi sumbangan ke tabung PIBG. Permintaan ini bukan perkara baharu kerana telah lama diketengahkan, namun sehingga kini masih belum mendapat kelulusan dari pihak kerajaan.
Jika langkah ini dilaksanakan, ia akan memberi kesan berganda kepada sekolah. Pertama, ia mampu menggalakkan syarikat-syarikat korporat menyalurkan lebih banyak dana kerana mereka turut menikmati insentif pengecualian cukai. Kedua, aliran dana tambahan ini boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh pelbagai aktiviti pendidikan, pembangunan sahsiah pelajar, penyelenggaraan sekolah dan program kokurikulum.
Lebih penting lagi, pemberian pengecualian cukai ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan. Apabila PIBG berjaya menjana dana melalui sumbangan korporat, sekolah tidak perlu terlalu bergantung kepada bajet kerajaan untuk menampung pelbagai keperluan.
Dalam erti kata lain, ia mewujudkan ekosistem kerjasama tiga hala yang lebih seimbang – kerajaan, komuniti korporat dan PIBG.
Dalam pada itu antara harapan besar ibu bapa kali ini ialah agar kerajaan menaikkan kadar Bantuan Awal Persekolahan (BAP) daripada RM150 kepada RM250 seorang murid. Walaupun kadar RM150 sangat membantu namun kadar baharu ini dilihat wajar dengan mengambilkira kenaikan kos sara hidup yang mendadak serta kenaikan harga barangan kelengkapan sekolah. Realitinya, setiap kali sesi persekolahan baharu bermula, ibu bapa pastinya berhadapan dengan cabaran kewangan yang besar.
Oleh itu, peningkatan kadar ini tidak hanya meringankan beban kewangan ibu bapa, tetapi juga memberi impak psikologi positif kepada anak-anak. Murid yang hadir ke sekolah dengan kelengkapan lengkap dan selesa pasti akan lebih bersemangat, yakin diri dan bersedia menimba ilmu.
Secara tidak langsung, ia membantu meningkatkan kehadiran murid ke sekolah dan mengurangkan jurang ketidaksamaan antara keluarga berpendapatan tinggi dengan keluarga B40.
Tambahan pula, bantuan tunai seperti ini akan menjadi komitmen sokongan terus daripada kerajaan kepada poket rakyat. Dalam konteks ekonomi semasa yang menekan, setiap ringgit yang diterima amat besar maknanya buat keluarga berpendapatan sederhana dan rendah , manakala antara harapan besar pihak sekolah kali ini ialah agar kerajaan memberi perhatian serius kepada aspek penyelenggaraan sekolah dengan meningkatkan peruntukan penambahbaikan prasarana dan kemudahan asas di sekolah. Isu sekolah daif, bangunan usang, bumbung bocor, dan peralatan usang sering menjadi rungutan warga pendidikan.
Meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sebelum ini, hakikatnya masih banyak sekolah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman sedang beroperasi dalam keadaan serba kekurangan. Lebih membimbangkan, terdapat juga kes-kes keselamatan yang terjejas kerana struktur sekolah yang tidak lagi selamat.
Pihak kerajaan menjangkakan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun melalui pelaksanaan skim subsidi petrol baharu. Justeru, sebahagian besar peruntukan daripada penjimatan ini wajar disalurkan kepada sektor pendidikan, terutamanya untuk meningkatkan peruntukan penyelenggaraan sekolah dan kenaikan kadar BAP kepada ibu bapa.
Harapan PIBG terhadap belanjawan kali ini bukanlah sesuatu yang berlebihan, sebaliknya ia adalah tuntutan wajar demi memastikan generasi masa depan mendapat peluang pendidikan yang lebih baik dan inklusif.
Kerajaan perlu melihat cadangan seperti pengecualian cukai sumbangan PIBG, kenaikan kadar Bantuan Awal Persekolahan, serta peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah sebagai pelaburan jangka panjang. Pendidikan adalah nadi pembangunan negara. Ironinya, setiap ringgit yang dibelanjakan hari ini akan menjadi pulangan besar pada masa depan dalam bentuk generasi yang berilmu, berdaya saing dan berintegriti. – UTUSAN
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
YANG DIPERTUA PIBG
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SERI SERDANG
SELANGOR