Hanya 33 koperasi wanita di Sabah catat pendapatan RM1.3 juta

Hanya 33 koperasi wanita di Sabah catat pendapatan RM1.3 juta

Ewon Benedick hadir pada seminar kepimpinan dan keusahawanan Koperasi Wanita Sabah 2025 di Kota Kinabalu, hari ini. - UTUSAN/ HARDY JOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hanya 33 daripada lebih 1,500 koperasi wanita berdaftar di negeri ini berjaya mencatat pendapatan berjumlah RM1.3 juta pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, setakat ini, perolehan koperasi wanita itu adalah yang tertinggi di Sabah.

“Setakat ini, sebanyak 250 koperasi wanita berdaftar di seluruh negara berjaya mencapai perolehan bernilai RM16.2 juta.

“Bagi Sabah, yang mempunyai lebih 1,900 koperasi berdaftar, sebanyak 33 koperasi wanita catat perolehan RM1.3 juta,” katanya selepas merasmikan seminar kepimpinan dan keusahawanan Koperasi Wanita Sabah 2025 di sini, hari ini.

Tahun lalu, sebanyak 16,284 koperasi berdaftar di seluruh negara berjaya memperoleh pendapatan keseluruhan RM68.18 bilion, membuktikan potensi besar sektor koperasi dalam menjana ekonomi negara.

Ewon berkata, dilihat dari segi peratusan, pencapaian koperasi wanita Sabah masih rendah dan ingin melihat ia dilonjakkan melalui pelbagai langkah termasuk penganjuran seminar kepimpinan.

“Ia bukan sahaja menyampaikan maklumat daripada pelbagai agensi, tetapi memberi motivasi dan galakan kepada koperasi wanita untuk bergerak lebih aktif. Saya berharap seminar seumpama ini julung kali diadakan dapat memperkasa kepimpinan dan tadbir urus koperasi yang dipimpin wanita,” katanya.

Ewon berkata, koperasi wanita mempunyai potensi besar menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara jika kepimpinan dan tadbir urus diperkasakan dengan baik.

Sehubungan itu, beliau berharap koperasi wanita melipatgandakan usaha memacu prestasi pencapaian gerakan koperasi wanita negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×