PETALING JAYA: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang juga ibu saudara kepada peserta program Talk To My Manager, Amad, menyifatkan kejadian yang menimpa ahli keluarganya di pentas akhir pertandingan itu sebagai kejadian di luar dugaan.
Jelas Siti, semasa sesi latihan, Amad atau Ahmad Dayyan, 13, dilihat dalam keadaan baik, cergas dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan untuk membuat persembahan.
“Kondisi Amad dalam keadaan baik, sihat untuk persembahan. Namun takdir berkata lain pada hari pertandingan akhir,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tambah beliau lagi, insiden Ahmad rebah malam tadi bukanlah berpunca daripada faktor kesihatan, tekanan, mahupun keletihan, tetapi sesuatu yang sukar untuk diterangkan secara logik.
“Sebagai manusia biasa, kita percaya dalam kehidupan kita, ada hal-hal luar dugaan, hal-hal tak masuk di akal tetapi itulah hakikatnya,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau turut memohon agar masyarakat tidak membuat pelbagai andaian atau menyebar persepsi negatif, memandangkan hanya mereka yang berada di lokasi sebenar sahaja mengetahui apa yang berlaku.
“Untuk bersikap adil kepada Amad, janganlah ada pelbagai persepsi kerana mereka yang melihat kejadian sahaja yang tahu.
“Begitulah, setiap kita ada cabaran, ini kan pula dalam bidang ini. Segalanya terbuka luas. Doakan agar kita semua dilindungi-Nya selalu. Doakan Amad juga,” tulisnya lagi.
Dalam pada itu, wakil pihak produksi, Raqim Ahmad yang juga Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro mengesahkan hasil laporan pasukan perubatan menunjukkan tiada sebarang masalah kesihatan yang dialami penyanyi cilik itu.
Terdahulu semasa pentas akhir program Talk To My Manager, Amad dilihat menahan sakit semasa membuat persembahan sehingga menangis sebelum akhirnya rebah.
Rentetan itu, Shuib mendedahkan ada menerima panggilan daripada bapa Amad bertanya tentang pangamal perubatan Islam. Shuib juga tidak menolak kejadian dialami Amad malam tadi ada kaitan dengan unsur mistik. -UTUSAN