SHAH ALAM: Anak kepada penyanyi nasyid, Allahyarham Suhaimi Saad iaitu Ehmad Hadie, bakal tampil dengan persembahan penuh emosi di pentas akhir Talk To My Manager, Ahad ini.
Menurut ibunya, Ina Naim, Hadie bakal membawakan lagu Impian Kasih yang menjadi nyanyian terakhir arwah bersama kumpulan Inteam sebelum pergi buat selamanya.
“Tarikh persembahan Ahad ini juga kebetulan jatuh pada hari lahir arwah. Ia sangat simbolik dan memberi makna mendalam bagi kami.
“Lagu Impian Kasih dinyanyikan buat kali terakhir oleh Suhaimi bersama Inteam di sebuah majlis perkahwinan pengurus Inteam, Kimi,” cerita Ina ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini pada Jumaat.
Bercerita lanjut, jelas Ina atau Nordiana Mohd Naim, 41, ketika itu Suhaimi sedang tidak sihat namun berkeras mahu hadir di majlis persandingan pengurus kumpulan nasyid itu.
“Waktu itu arwah sakit mata. Saya yang memandu kereta, tidak sangka dapat berjumpa dengan semua ahli Inteam.
“Selalunya pasti kurang seorang. Ketika itu mereka menyanyikan Impian Kasih, dan itu adalah kenangan terakhir mereka bersama,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Ina, lagu tersebut turut membawa maksud mendalam kerana ia menunjukkan perjalanan muzik Hadie yang akhirnya kembali kepada nasyid selepas mencuba pelbagai genre.
“Selepas beberapa minggu Hadie bernyanyi dangdut, pop dan segala macam. Tapi di hujungnya dia kembali kepada nasyid.
“Kita mahu orang lihat nasyid, kalau kita tengok zaman sekarang ni, budak-budak kebanyakannya tak tahu lagu-lagu nasyid yang lama-lama kan. Kita nak kembalikan semula Ahad ini,” tambahnya. -UTUSAN