SEPANG: Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menjelaskan, biarpun konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) gagal memecah kepungan Israel, namun ia berjaya memecah kebisuan dunia terhadap kezaliman di Gaza.
Menurutnya, selepas berhempas pulas hampir dua sebulan, akhirnya misi Konvoi kemanusiaan itu telah mencapai hasil dan apa yang diharapkan.
“Walaupun kita belum berjaya ‘break the siege’, namun kita telah berjaya ‘break the silence’. Buktinya ialah kehadiran kalian semua yang bersama-sama meraikan ketibaan kami pada malam ini.
“Setiap seorang daripada kalian yang hadir pada sambutan pada malam ini telah mewakili denyut nadi untuk Palestin. Kalianlah tunjang kekuatan perjuangan ini.
“Dengan semangat dan solidariti semua, kita akhirnya dapat sampai ke sini hari ini. Namun jangan kita lupa perjuangan kita belum berakhir,” katanya ketika berucap pada majlis menyambut ketibaan 27 aktivis GSF Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.
Katanya, ketika ini, saudara-saudara di bumi Gaza masih dibedil, masih dibunuh dan masih dizalimi.
Muhammad Nadir yang juga antara pencetus misi Sumud Nusantara berkata, dukacitanya pada malam ini (7 Oktober) menandakan genap dua tahun rakyat Gaza hidup dalam suasana genosid.
“Mereka masih lapar, kehilangan insan tersayang dan amat memerlukan sokongan kita. Justeru, jangan biarkan perjuangan ini terhenti di sini. Perjalanan kita masih panjang.
“Anak kecil berusia lima tahun ini telah melalui dua kali peperangan, dua kali genosid. Alhamdulillah, dia selamat kerana ayahnya rakyat Malaysia kerana kerajaan Malaysia bersama perjuangan ini, kerana rakyat Malaysia berdiri teguh bersama Palestin.
“Tetapi jangan kita lupakan anak-anak lain di Gaza, yang tidak punya negara untuk mempertahankan mereka, tidak punya kerajaan yang mampu menghentikan kezaliman, memberi mereka perlindungan, makanan, minuman, dan masa depan.
Katanya, pihaknya tidak akan berhenti berjuang dan akan terus bersama sehingga Al-Aqsa dibebaskan dan sehingga Palestin merdeka. – UTUSAN