Glomac perkukuh asas sebelum teroka segmen pusat data

Glomac perkukuh asas sebelum teroka segmen pusat data

FD Iskandar bercakap pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 Glomac Berhad di Menara Glomac di sini, baru-baru ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Glomac Berhad (Glomac) mengekalkan pendekatan berhati-hati terhadap rancangan terdahulu untuk mempelbagaikan operasi ke dalam segmen pusat data disebabkan masih belum memperoleh penyewa yang disahkan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar berkata, rancangan untuk menceburi bidang pusat data masih lagi dalam perancangan syarikat dan memperuntukkan kira-kira satu atau dua petak tanah untuk tujuan itu.

“Untuk membina pusat data memerlukan modal yang besar, jadi kami perlu berhemah. Kami mesti memastikan pelanggan telah disahkan sebelum membina.

“Malah, ada pemain lain yang sudah menandatangani perjanjian dengan pelanggan, tetapi pelanggan tersebut menarik diri kemudian,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Glomac Ke-41 baru-baru ini.

Beliau berkata, Malaysia, khususnya Johor, telah muncul sebagai hab utama pusat data di Asia Tenggara, namun cabaran infrastruktur seperti kekangan bekalan air dan tenaga perlu diteliti dengan berhati-hati.

“Sehingga kami mempunyai penyewa yang disahkan, adalah lebih wajar untuk kami menunggu.

“Buat masa ini, sebahagian tanah yang telah dikenal pasti untuk pusat data telah ditukar kepada pembangunan komersial kerana permintaan terhadap pejabat kedai dua dan tiga tingkat sangat kukuh,” katanya.

Pada masa ini, Glomac memiliki kira-kira 600 ekar tanah simpanan, terutamanya terletak di Lembah Klang dan Johor, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berpotensi dianggarkan sebanyak RM6 bilion.

Glomac turut merancang memperkenalkan projek baharu bernilai kira-kira RM324 juta dalam tahun kewangan 2026, yang kebanyakannya terdiri daripada pembangunan perumahan bertanah dalam kawasan perbandaran sedia ada.

Projek-projek itu akan dilancarkan secara berperingkat selaras dengan keadaan pasaran dan bagi memaksimumkan kadar pengambilan.

Sementara itu, beliau berkata, projek Serai 2 yang dilancarkan pada Julai lalu telah mencatatkan kadar pengambilannya (take-up rate) melebihi 70 peratus.

“Pasaran bagi hartanah hak milik strata memang mencabar dan perlahan, terutamanya pangsapuri.

“Tetapi apabila kita bercakap tentang hartanah bertanah, pada harga tertentu dan lokasi yang agak baik, ia nya menunjukkan aliran yang baik. Kami juga akan melancarkan lebih banyak projek hartanah bertanah,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Belanjawan 2026 lalu, beliau berkata, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) perlu diperkenalkan semula dengan pengecualian duti setem sepenuhnya untuk tempoh setahun menerusi semakan Belanjawan.

Menurutnya, kerajaan lazimnya menilai semula bajet setiap enam bulan dan semasa semakan itu diharap beberapa cadangan yang pernah dikemukakan sebelum ini dapat dipertimbangkan semula.

“Saya juga berharap margin pinjaman yang lebih baik, kadar faedah lebih rendah, bangunan hijau diberi insentif serta kepadatan pembangunan dibenarkan lebih tinggi.

“Kami masih berbincang dengan kerajaan dan diharapkan mereka akan mempertimbangkannya semasa semakan bajet nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×