PETALING JAYA: Ahli keluarga 23 orang rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) lega apabila individu dikasihi mereka itu dijadualkan akan pulang ke tanah air, esok.
Suami kepada wartawan TV AlHijrah, Serieffa Mushtafa Albakry, iaitu Mohd. Jamil Jalaludin berkata, berita mengenai kepulangan itu menghadirkan rasa lega yang sukar digambarkan.
Katanya, sebelum itu, setiap hari dia melalui hari-hari penuh debaran menantikan khabar keselamatan isterinya yang menyertai misi itu terutama selepas ditahan pihak Israel.
“Apabila dapat khabar itu, saya benar-benar rasa lega dan gembira. Selepas beberapa hari penuh debaran menunggu perkembangan mereka akhirnya semua peserta akan pulang ke tanah air.
“Sepanjang misi berlangsung, pihak penganjur tidak pernah berhenti menyalurkan maklumat terkini. Setiap kali ada perkembangan baharu, kami ikuti dengan penuh debaran dan doa agar semuanya berada dalam keadaan selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia
Mohd. Jamil turut menyifatkan semua peserta misi itu sebagai wira kemanusiaan yang berani, sanggup berdepan risiko demi menegakkan nilai solidariti dan kemanusiaan terhadap rakyat Gaza.
“Mereka bukan sekadar menghantar bantuan, tetapi membawa mesej jelas kepada dunia bahawa Malaysia kekal konsisten menyokong perjuangan rakyat Gaza dan menolak sebarang bentuk penindasan terhadap mereka,” katanya. – UTUSAN










