TUMPAT: Penduduk di Kampung Pak Keral di sini, bertindak menggantung kain rentang sebagai tanda protes selepas berdepan gangguan bekalan air yang berlarutan selama dua bulan tanpa sebarang penyelesaian.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lima kain rentang tertera tulisan ‘AKSB mano air’, ‘YB Tok Ngulu Air Tak Dok’ dan ‘AKSB kami nak air’ digantung di sepanjang jalan termasuk di laluan masuk Masjid Mukim Pak Keral.
Pemasangan kain rentang itu tular dalam laman sosial seterusnya menimbulkan perdebatan hangat warganet.
Penduduk, Nor Hayati Yaakob, 49, berkata, dia menyedari kain rentang itu dinaikkan sejak kelmarin namun tidak mengetahui siapa pelakunya.
“Gangguan sudah berlarutan sejak dua bulan lalu. Paling kritikal dua minggu kebelakangan ini apabila air bersih terputus terus.
“Air langsung tiada, saya terpaksa mengambil air dari telaga jiran dengan motosikal roda tiga yang terletak hampir 500 meter (m) dari rumah. Untuk minum saya terpaksa membeli air mineral,” katanya.
Nor Hayati berharap masalah itu dapat diselesaikan segera memandangkan majlis kenduri kahwin anaknya berlangsung minggu depan.
Seorang lagi penduduk, Khairul Azhar Razali, 41, berkata, sejak terputus bekalan air, dia bergantung sepenuhnya kepada air hujan yang ditadah.
Katanya, walaupun ada kemudahan telaga tiub, namun sumber tersebut tidak boleh digunakan kerana berbau dan keruh.
“Sangat perit air bersih terputus kerana saya ada ayah yang uzur, kakinya luka kerana penyakit kencing manis,” katanya. – UTUSAN










