Gamuda Land bangunkan penginapan pelajar di London bernilai RM600j

Gamuda Land bangunkan penginapan pelajar di London bernilai RM600j

TERLETAK di London, projek Marshgate Lane dengan 321 katil dijangka siap menjelang Tahun Akademik 2028/2029.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gamuda Land, cabang hartanah kepada Gamuda Berhad, membangunkan penginapan pelajar yang dibina khas (PBSA) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM600 juta di 14 Marshgate Lane, Stratford, London, United Kingdom (UK).

Menurut kenyataan, ia menandakan projek PBSA pertama Gamuda Land UK yang dimiliki sepenuhnya, dibangunkan dan diuruskan sendiri, sekali gus memperlihatkan kemampuan syarikat yang semakin berkembang dalam salah satu pasaran hartanah paling canggih di dunia.

“Pengambilalihan Marshgate Lane ini mengukuhkan rancangan Gamuda Land untuk menyediakan sehingga 3,000 katil pelajar di bandar-bandar utama UK dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Ini akan memperkukuh fokus syarikat terhadap pembinaan aset yang menjana pendapatan berulang.

“Seiring pembangunan kediaman dan komersialnya, portfolio ini mencerminkan strategi serantau Gamuda dalam mempelbagaikan sumber pendapatan dan meningkatkan daya tahan melalui kitaran ekonomi,” katanya.

Terletak di London, projek Marshgate Lane dengan 321 katil dijangka siap menjelang Tahun Akademik 2028/2029.

Ia terletak strategik sebagai penginapan pelajar khas swasta terdekat dengan UCL East dan turut akan menampung pelajar dari London College of Fashion, mewakili gabungan lebih 10,000 pelajar serta berhampiran Westfield Stratford pusat beli-belah terbesar di London.

Selain itu, penambahan terbaru itu menjadikan portfolio PBSA Gamuda Land di UK kini berjumlah 1,232 katil merentasi tiga projek dalam tempoh hanya 18 bulan iaitu Press House, Woolwich (London) dengan 419 katil, usaha sama dengan Q Investment Partners (QIP), siap secara berperingkat antara 2026 hingga 2027.

Ini termasuk City Wharf, Glasgow (Scotland) dengan 492 katil, usaha sama dengan Dandara Living dan siap pada 2026 serta Marshgate Lane, Stratford (London) mempunyai 321 katil, dibangunkan sendiri, siap pada 2028.

Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Chu Wai Lune berkata, PBSA ialah kelas aset kontra-kitaran yang disokong oleh permintaan pelajar yang kukuh dan konsisten, membantu mengimbangi portfolio kediaman dan komersial mereka.

“UK mempunyai salah satu populasi pelajar antarabangsa terbesar di dunia dengan lebih 680,000 pendaftaran, namun penginapan khas pelajar hanya merangkumi kurang daripada 30 peratus bekalan.

“Kekurangan struktur ini, digabungkan dengan tarikan global universiti di UK, memberikan kami keyakinan terhadap ketelusan pendapatan jangka panjang,” katanya.

Tambahnya, rangkaian pembangunan Gamuda Land di UK kini bernilai kira-kira £1.5 bilion (RM 8.44 bilion), diterajui oleh pembangunan semula pejabat utama bernilai £1.2 bilion (RM 6.75 bilion) di 75 London Wallmelalui kerjasama dengan Castleforge.

“Projek ini dijangka menandatangani kontrak utama dengan Multiplex pada suku ini, dengan perbincangan penyewaan juga sedang berjalan dengan bakal penyewa,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×