SERDANG: Gelombang ketiga misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) dijangka masuk ke zon merah pada pukul 5 pagi waktu Malaysia, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, semua sembilan kapal sudah bergerak pada kelajuan 4.00 knot dan memasuki zon kuning pada jarak 200 batu nautika dari pesisir pantai Gaza.
“Kapal Conscience mula bergerak pukul 9.30 pagi tadi waktu Malaysia, dan lapan kapal yang lain bergerak pada 1 pagi.
“Ketua Delegasi Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali melaporkan kesemua delegasi kapal sebulat suara untuk bertemu dalam satu garis masa pada sekitar jarak 150 batu nautika dari pesisir pantai Gaza.
“Semua mereka sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berhadapan penahanan rejim Zionis Israel,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MyCARE, semalam.
Katanya, mengikut perkiraan tempoh 48 jam akan datang adalah waktu kritikal kerana biasanya tentera Israel akan membuat pintasan terhadap peserta misi.
“Kita minta doa, minta diberi kekuatan kepada mereka (yang berada di atas) kapal dan Insya-Allah kalau Allah izin mereka dapat mendarat di Gaza,” katanya.
Misi kemanusiaan FFC x TMTG membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
Seramai lapan rakyat Malaysia sedang belayar di atas Kapal Conscience dengan seorang lagi berada di atas Kapal Umm Saad.
Delegasi kapal Conscience ialah Mohd Alauddin; Dr. Fauziah Hassan; Dr. Hafiz Sulaiman; Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi; wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil, pensyarah iaitu Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh dan Dr. Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar. – UTUSAN










