Filem wakil Malaysia ke Oscar akan diumum selepas FFM34 - Utusan Malaysia

Filem wakil Malaysia ke Oscar akan diumum selepas FFM34

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bakal mengumumkan filem tempatan yang mewakili negara bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa di Anugerah Akademi Ke-98 (Oscar) selepas berakhirnya Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) pada 1 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya telah pun mengenal pasti filem yang akan dicalonkan namun belum bersedia mengumumkannya kepada media bagi memberi tumpuan penuh kepada penganjuran FFM terlebih dahulu.

“Kita sudah mencalonkan satu filem, cuma belum diumumkan secara rasmi. Insya-Allah, selepas selesai FFM, barulah kita kongsikan harapan negara untuk ke Oscar.

“FFM kali ini berlangsung cukup meriah, seolah-olah malam anugerah besar buat industri seni. Jadi kita raikan dahulu penggiat tempatan sebelum membawa perbincangan ke pentas antarabangsa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa filem yang dipilih memenuhi kriteria  juri Oscar termasuk kekuatan naratif, keaslian dan nilai kemanusiaan sama seperti filem Abang Adik, yang pernah mewakili Malaysia ke Oscar pada edisi lalu.

“Filem Abang Adik adalah satu pencapaian luar biasa. Ia telah memenangi lebih 60 anugerah antarabangsa. Kita lihat ia sebagai penanda aras dan inspirasi dalam pemilihan tahun ini.

“Filem yang bakal dihantar juga mempunyai elemen yang serupa dan diyakini mampu menarik perhatian juri antarabangsa,” katanya lagi.

Sebelum ini, Abang Adik arahan Jin Ong, mencipta sejarah apabila meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Filem Terbaik dalam Uncaged Competition ke-22 di Festival Filem Asia New York, serta merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics Award dan White Mulberry Award di Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali.

Bagaimanapun, Abang Adik gagal membolosi senarai pendek kategori Filem Cereka Antarabangsa di Anugerah Akademi Ke-97.

Terdahulu, beberapa negara Asia Tenggara telah pun mengumumkan filem yang akan mewakili negara masing-masing ke Oscar edisi kali ini antaranya Tenement (Kemboja), Sore: Isteri Dari Masa Depan (Indonesia), Magellan (Filipina) dan A Useful Ghost (Thailand).

Anugerah Akademi ke-98 dijadual berlangsung pada Ahad, 15 Mac 2026 di Dolby Theatre, Los Angeles, manakala pengumuman pencalonan rasmi Oscar akan dibuat pada 22 Januari 2026. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN