SUBANG JAYA: Tidak sedar lampu isyarat berwarna merah menjadi alasan dua remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya sehingga tular dalam kejadian di persimpangan Putra Heights baru-baru ini.
Semakan awal mendapati kedua-dua remaja itu masing-masing berumur 14 dan 15 tahun.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua remaja itu telah dirakam keterangan pada 6 November lalu sebelum dilepaskan keesokan harinya.
“Kedua-dua remaja terbabit memberi alasan tidak sedar lampu isyarat sedang berwarna merah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kedua-dua ibu bapa remaja terbabit telah dipanggil untuk dirakam keterangan selain turut diberikan nasihat oleh pihak polis.
“Setakat ini empat keterangan telah direkodkan melibatkan kedua-dua ibu bapa serta kedua-dua remaja terbabit. Kedua-dua remaja itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan tindakan dua remaja menunggang basikal lajak secara berbahaya mengundang padah apabila mereka ditahan polis selepas video aksi mereka tular di media sosial baru-baru ini
Laporan polis dibuat seorang individu sebelum menyerahkan pautan video memaparkan dua remaja menunggang secara berbahaya di persimpangan lampu isyarat Putra Heights.
Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 4 Disember lalu sekitar pukul 5.55 petang memaparkan dua remaja berkenaan menunggang dari arah Persiaran Putra Perdana menuju ke Kampung Tengah sebelum melanggar lampu isyarat merah.
Tindakan mereka hampir menyebabkan kemalangan apabila nyaris merempuh sebuah kereta yang sedang bergerak ketika lampu isyarat hijau sekali gus membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. – UTUSAN









