KUALA LUMPUR: Persaingan sengit antara nama-nama besar industri dijangka mewarnai kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang bakal berlangsung esok.
Barisan calon tahun ini mempertemukan pelakon berpengalaman seperti Beto Kusyairy (Reversi), Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga), Datin Sofia Jane (Mencari Ramlee)dan Nabila Huda (Telaga Suriram) sekali gus menjanjikan saingan terbuka antara kekuatan komersial dan nilai artistik lakonan.
Untuk edisi ke-34, kategori Pelakon Lelaki Terbaik turut mempertaruhkan Qi Razali (Babah), Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee) manakala untuk kategori wanita, Sweet Qismina (Babah), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usul Mu) serta Maya Karin (Telaga Suriram) memberi cabaran.
Sharnaaz dilihat memiliki kelebihan menerusi kejayaan komersial Blood Brothers: Bara Naga, filem aksi-drama yang mencatat kutipan lebih RM76 juta. apabila wataknya menuntut kekuatan fizikal dan kedalaman emosi, menjadikan Sharnaaz antara calon paling menonjol tahun ini.
Namun, dari segi nilai artistik, Beto melalui Reversi dianggap pencabar utama apabila lakonannya digambarkan pengkritik sebagai “tenang di luar, bergolak di dalam”, menonjolkan kemampuan tinggi menghidupkan watak kompleks dengan tafsiran psikologi yang halus.
Qi pula menyerlah menerusi Babah sebagai seorang ayah yang berdepan kehilangan dan masalah pendengaran. Persembahannya dikatakan jujur dan bersahaja tanpa perlu dramatik berlebihan, namun tetap memberi kesan mendalam kepada penonton.
Manakala, Aeril dan Tony turut memperkukuh kategori ini dengan lakonan mantap masing-masing.

Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Nabila tampil berbeza melalui Telaga Suriram apabila membawakan watak tanpa dialog yang bergantung sepenuhnya kepada ekspresi wajah dan bahasa tubuh sehingga mendapat pujian umum menjayakan watak dengan matang dan kuat dari segi emosi dalaman.
Menerusi Mencari Ramlee, Sofia menghidupkan watak penuh simbolik dengan penghayatan yang halus dan ekspresi berlapis menjadikan wataknya hidup di layar. Malah, persembahannya dianggap antara yang paling berkelas dalam kariernya.
Sementara itu, Sweet Qismina, melalui Babah, memperlihatkan kematangan baharu sebagai pelakon muda dengan lakonan tulus dan seimbang dalam hubungan anak dan bapa. Sementara Khatijah Tan menampilkan kekuatan tersendiri dalam genre seram, manakala Maya Karin mengekalkan reputasinya sebagai pelakon versatil yang konsisten.
Festival Filem Malaysia ke-34 akan berlangsung esok di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, dan disiarkan secara langsung melalui RTM TV2. Acara tersebut turut menawarkan Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta kepada pemenang kategori Filem Terbaik, sebagai langkah kerajaan memperkukuh penghasilan karya tempatan ke peringkat antarabangsa.-UTUSAN
 
								
 
								 
								 
											









