Festival Cik Siti Wan Kembang 2025 warnai Kota Bharu - Utusan Malaysia

Festival Cik Siti Wan Kembang 2025 warnai Kota Bharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Festival Cik Siti Wan Kembang 2025 yang berlangsung selama dua hari di sini berakhir dengan sambutan meriah apabila lebih 2,000 pengunjung membanjiri lokasi penganjuran sejak Jumaat lalu.

Program anjuran True Film Productions itu diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus menjadi antara acara pelancongan budaya terbesar di Pantai Timur tahun ini.

Festival yang berlangsung pada 3 dan 4 Oktober itu mengetengahkan pelbagai aktiviti berteraskan seni, warisan dan budaya tempatan bagi memperkukuh apresiasi masyarakat terhadap khazanah negeri Kelantan.

Antara pengisian utama yang menarik perhatian pengunjung ialah persembahan Dikir Barat, pertunjukan seruling tradisional, seni silat warisan, selain pertandingan mewarna dan busana cilik yang disertai peserta dari Kelantan, Pahang, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Menurut penganjur, objektif utama festival ini adalah untuk merancakkan semula sektor pelancongan domestik, khususnya di Pantai Timur, di samping memperkukuh jalinan komuniti antara negeri.

“Penganjuran seperti ini bukan sahaja memelihara warisan seni dan budaya, tetapi turut menjadi tarikan baharu kepada pelancong tempatan dan antarabangsa,” kata wakil True Film Productions dalam kenyataannya.

Penganjuran festival berkenaan turut mendapat kerjasama dan sokongan Tourism Malaysia, yang melihatnya sebagai platform penting bagi mempromosi keunikan budaya tempatan menjelang kemuncak Tahun Melawat Malaysia.

Tambah kenyataan itu, kejayaan festival ini membuktikan program pelancongan berasaskan komuniti mampu memberi impak positif kepada ekonomi setempat serta memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi budaya serantau.

True Film Productions turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk agensi pelancongan, penggiat seni dan komuniti setempat yang menjayakan program tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN