Etnik, subetnik jadi kriteria calon BN - Utusan Malaysia

Etnik, subetnik jadi kriteria calon BN

AHMAD Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri (tiga dari kiri) menerima Ketetapan Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan yang disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr. Shahrin Sahib di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM, Shah Alam, Selangor. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) sudah mengenal pasti se­narai calon yang akan bertan­ding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, latar belakang etnik dan subetnik diambil kira dalam penilaian calon bagi memastikan kemenangan parti.

Beliau berkata, ia antara ciri-ciri yang dinilai selain kriteria ‘WALI’ iaitu kemampuan menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable).

“Kita kini menunggu tarikh penamaan calon dan hari pengundian daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Nama-nama calon berkenaan sudahpun dikemukakan dan kita mengambil kira tentang kumpulan etnik dan subetnik yang akan diwakili.

“Selain daripada lambang parti dan juga isu-isu yang akan kita ketengahkan dalam manifesto, kita mengambil kriteria untuk konsep WALI dalam senarai yang dikemukakan yang akan kita lakukan kajian di lapangan,” katanya ketika ditemui semalam.

Terdahulu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin memaklumkan UMNO Sabah bersedia bertanding lebih 40 kerusi.

Katanya, bagaimanapun ke­semua calon belum dimuktamadkan oleh kepemimpinan parti.

Ahmad Zahid yang juga Pre­siden UMNO berkata, BN bersedia mengetengahkan ramai calon baharu dalam pilihan raya berkenaan.

“Banyak, insya-Allah. Banyak muka-muka baharu dan tokoh-tokoh muda yang akan dikete­ngahkan, di samping nama-nama lama yang berprestasi tinggi dalam pilihan raya lalu dan juga sepanjang perkhidmatan mereka,” katanya.

SPR akan mengadakan me­syua­rat pada 16 Oktober ini bagi membincangkan tarikh-tarikh ber­kaitan PRN Sabah Ke-17. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN