Enam individu didakwa guna dokumen palsu daftar kelahiran bayi

Enam individu didakwa guna dokumen palsu daftar kelahiran bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Enam individu dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tujuan pendaftaran kelahiran bayi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya antara tahun 2022 hingga 2023.

Daripada jumlah itu, lima tertuduh termasuk seorang wanita mengaku bersalah dan masing-masing dikenakan denda antara RM14,000 hingga RM15,000, manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan sama.

Tertuduh-tertuduh ialah, Wong Liang Fong, 40; Tey Tian Teck, 49; Er Cheow Chin, 46; yang mana kesemuanya masing-masing didenda RM14,000 oleh Hakim Suzana Hussain dan Hakim Rosli Ahmad.

Dua lagi tertuduh iaitu Yong Chin Wee, 44 dan seorang wanita, Chong Yi Lin, 28 masing-masing didenda RM14,500 oleh Hakim Azura Alwi.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Chee Keng Tiong, 54, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tujuan sama.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kesemua tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu Borang Daftar Kelahiran dan Surat Pemberitahu Kelahiran yang mengandungi tandatangan serta cop dua orang doktor perubatan bagi tujuan pendaftaran kelahiran bayi.

Dokumen tersebut masing-masing digunakan atas nama lima wanita berbeza yang didakwa sebagai ibu kepada bayi terbabit, sedangkan tertuduh mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa dokumen berkenaan adalah palsu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Presint 2, Putrajaya, dalam tempoh antara Jun 2022 hingga 10 Mei 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Mohd Alimi Mustapha serta Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Asmaa Zamri dan Muaz Ahmad Khairuddin, manakala semua tertuduh diwakili oleh peguam Goh Han Koon, Adhwa’ Afiqah Mohd. Azmi, Shenton Maniam dan Khoo Han Koon.

Berdasarkan fakta kes, siasatan mendapati kesemua tertuduh menggunakan Borang Daftar Kelahiran dan Surat Pemberitahu Kelahiran palsu yang mengandungi tandatangan serta cop doktor bagi tujuan pendaftaran kelahiran bayi di JPN Putrajaya dalam tempoh antara Jun 2022 hingga Mei 2023.

Penarik kereta, Liang Fong didapati menggunakan dokumen palsu berkenaan bagi mendaftarkan anak kandungnya sendiri di JPN Putrajaya.

Sementara itu, pekebun, Tian Teck dan eksekutif operasi syarikat, Cheow Chin pula berbuat demikian bagi tujuan pengambilan anak angkat, termasuk seorang bayi warganegara Myanmar tanpa penjaga.

Pengurus jualan, Chin Wee dan juruwang, Yi Lin masing-masing menggunakan dokumen palsu selepas berurusan dengan ejen yang menawarkan khidmat menguruskan sijil kelahiran dan dokumen sokongan dengan bayaran antara RM18,000 hingga RM70,000.

Bagi peniaga, Keng Tiong pula, siasatan mendapati tertuduh cuba menggunakan dua dokumen palsu bagi tujuan pendaftaran anak angkatnya pada November 2022.

Difahamkan, sebahagian daripada mereka dipercayai telah diperdaya ejen yang mendakwa mampu menguruskan pendaftaran kelahiran bayi melalui saluran tidak sah.

Hasil semakan turut mendapati tandatangan serta cop beberapa doktor yang tertera pada dokumen berkenaan adalah palsu, selain tiada sebarang rekod kelahiran ditemui di hospital seperti yang dinyatakan dalam borang tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN