Elaun rendah punca enggan jadi pengetua, guru besar

Elaun rendah punca enggan jadi pengetua, guru besar

MOHAMED SABRI MOHD. ARSAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendi­dikan Malaysia (5PM) me­ngakui ramai guru yang dilantik ke jawatan pengetua dan guru besar namun enggan memikul tanggungjawab tersebut disebabkan beban tugas dan kadar imbuhan khas masih di takuk lama.

Timbalan 5PM, Datuk Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, sebarang tugas yang dipikul sudah tentu seseorang guru atau mana-mana penjawat awam memerlukan kadar imbuhan yang lebih selesa sekali gus memberi rangsangan mereka ketika mendepani tugas yang kian mencabar.

“Saya difahamkan rata-rata guru yang sudah dan baru dilantik mempertikai elaun khas yang dianggap tidak seberapa malahan memikul tugas mengikut waktu pejabat selama lapan jam cukup memenatkan.

“Apatah lagi beban tugas bertambah berat ketika me­nguruskan sekolah dua sesi dan ada asrama. Lebih lagi sejak akhir ini banyak isu pendidikan berlaku seperti kes buli di asrama dan sekolah sudah memeningkan pihak pengurusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Menurut Mohamed Sabri, ada dilaporkan guru yang menolak jawatan tersebut memi­lih bersara lebih awal sebagai jalan penyelesaian bagi mengelak beban tugas sedangkan mereka berkenaan mempu­nyai kepakaran dan pengalaman mengurus sekolah.

“Tidak dinafikan ada yang menolak jawatan tersebut kerana lebih menjirus masalah peribadi seperti sukar untuk berenggang dengan keluarga dan masalah kesihatan apabila ditempatkan agak jauh dari rumah dan lebih selesa memilih kenaikan pangkat melalui saluran kecemerlangan pendidikan, iaitu menjadi guru pakar mata pelajaran sekolah tempat bertugas,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan perlu berusaha menambah baik struktur tugas dan tanggungjawab pengetua dan guru besar, iaitu keutamaan melaksana kadar elaun yang munasabah dan lebih baik berbanding sebelum ini, kadar yang diterima seorang penge­tua iaitu RM300 dan guru besar (RM200).

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) cawangan Perak, Muhammad Halili Mat Isa berkata, kenaikan elaun adalah inisiatif yang dapat menarik minat guru untuk menjadi guru besar.

Menurutnya, kadar elaun bagi guru besar sudah lama tidak disemak.

“Persatuan menyambut baik jika kerajaan mahu menyemak semula elaun guru besar sebagai satu galakan. Dalam hal ini wang bukan keutamaan namun kalau elaun dinaikkan, ia lebih bagus.

“Ini bagi menggalakkan le­bih ramai guru berminat dengan tugas sebagai guru besar apatah lagi dalam keadaan sekarang dengan tugasan guru yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Yahya Subban, Chenderong Balai, Pasir Salak berkata, agak sukar memujuk guru menyertai Program Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Pemimpin Pendidikan (NPQEL) sebelum dilantik sebagai guru besar.

Katanya, jawatan guru besar bukan lagi jawatan rebutan malah kadang kala terpaksa memujuk guru yang berkelayakan menyertai kursus NPQEL.

“Di Perak, hampir 200 guru sudah menamatkan kursus NPQEL dan mereka sedia mengisi kekosongan kedua-dua jawatan dan kebanyakan jawatan guru besar sekolah di negeri ini sudah diisi,” katanya.

Kelmarin di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, mengakui kadar elaun rendah untuk peserta NPQEL menjadi antara punca utama kurangnya sambutan dalam kalangan guru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN