PETALING JAYA: Eksport kasar diunjur berkembang sebanyak 2.8 peratus pada 2026, terutamanya bagi barangan pembuatan dan barangan pertanian, menurut Tinjauan Ekonomi 2026.
Jelasnya, perkembangan itu disokong oleh peningkatan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dipacu oleh permintaan lebih tinggi untuk semikonduktor dan aplikasi kecerdasan buatan (Al) di peranti hujung (Al edge applications) serta harga komoditi yang kompetitif.
“Pertumbuhan ini juga disumbangkan oleh permintaan luar yang lebih kukuh susulan peningkatan perdagangan berikutan kepelbagaian pasaran dan produk berdasarkan kelebihan bandingan Malaysia, terutamanya dalam semikonduktor.
“Di samping itu, usaha mempergiat perdagangan dengan negara anggota ASEAN serta meneroka pasaran bukan tradisional akan mengukuhkan lagi eksport.
“Eksport barangan pembuatan juga dijangka meningkat sebanyak 3.0 peratus disumbangkan oleh peningkatan permintaan bagi produk E&E dengan bahagian sebanyak 50.4 peratus dan produk bukan E&E sebanyak 49.6 peratus,” katanya.
Sementara itu, produk E&E turut diunjur berkembang sebanyak 3.9 peratus disokong oleh permintaan stabil bagi semikonduktor.
“Peningkatan ini selaras dengan kitaran menaik teknologi yang berterusan dengan jangkaan perkembangan pasaran semikonduktor global sebanyak 9.9 peratus seperti dilaporkan oleh World Semiconductor Trade Statistics.
“Di samping itu, eksport produk bukan E&E dijangka pulih sebanyak 2.1 peratus berikutan permintaan lebih tinggi, terutamanya bagi produk pembuatan berasaskan minyak sawit, pembuatan barangan logam, kimia dan produk kimia, serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
“Eksport barangan pertanian pula diunjur berkembang sebanyak 3.3 peratus disokong oleh permintaan global yang stabil bagi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit disumbangkan oleh peningkatan volum eksport dan harga yang kompetitif bagi barangan pertanian.
“Walau bagaimanapun, eksport barangan perlombongan dijangka menyusut secara marginal sebanyak 0.4 peratus berikutan eksport lebih rendah bagi gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah antaranya disebabkan oleh permintaan lebih perlahan daripada pasaran import utama,” ujarnya.
Mengulas lanjut, import kasar turut dijangka meningkat sebanyak 3.9 peratus pada 2026 dipacu oleh pertumbuhan dalam semua komponen, sekali gus menunjukkan prestasi Malaysia yang stabil dalam sektor utama ekonomi dan aktiviti pelaburan strategik.
“Import barangan perantaraan diunjur berkembang sebanyak 4.2 peratus, terutamanya bagi alat ganti dan aksesori serta bekalan perindustrian seiring dengan peningkatan eksport dalam barangan pembuatan.
“Selain itu, import barangan modal diunjur meningkat sebanyak 4.3 peratus berikutan aktiviti pelaburan yang berterusan didorong oleh pembangunan pusat data serta peningkatan permintaan barangan pukal seperti pesawat udara dan lokomotif.
“Import barangan penggunaan pula dijangka meningkat sebanyak 3.9 peratus menunjukkan perbelanjaan isi rumah yang lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN










