MELAKA: Dua pegawai tentera berpangkat kapten dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini mencederakan seorang pegawai bawahan berpangkat leftenan muda dalam satu kejadian di Kem Terendak, Sungai Udang, Februari lalu.
Kedua-dua tertuduh, Mohamad Solehudin Darus, 30, dan Ahmad Hazlan Haris Azman, 28, dari Rejimen Pertama Artileri Diraja (Para) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencederakan seorang lelaki berusia 26 tahun di bahagian muka, belakang badan dan paha.
Kejadian berlaku antara pukul 2.30 pagi hingga pukul 6 pagi pada 22 Februari 2025 di hadapan Mes Pegawai Rejimen Pertama Artileri Diraja (Para), Kem Terendak.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd. Rodzlad mencadangkan jaminan RM10,000 kepada setiap tertuduh serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.
Peguam P. Shamala yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah antara RM1,000 hingga RM2,000 dengan alasan kedua-dua mereka masih bekerja, selain merupakan anak sulung yang menanggung keluarga serta adik-beradik lain.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.-UTUSAN








