PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kutipan hasil berjumlah RM43.62 bilion bagi Januari hingga 30 Jun lalu iaitu lebihan sebanyak RM3.62 bilion berbanding unjuran hasil awal tahun sebanyak RM40 bilion.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, jumlah itu turut meningkat berbanding RM35.69 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, peningkatan itu melibatkan tambahan kutipan sebanyak RM7.93 bilion atau 22.22 peratus.
“Sehubungan itu, JKDM akan terus menambah baik strategi dan pendekatan sedia ada bagi mengekalkan momentum tersebut serta mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM80 bilion yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Mengulas lanjut, Amran berkata, JKDM akan terus melaksanakan tiga fungsi teras iaitu memungut hasil negara, memudah cara perdagangan serta menguatkuasakan undang-undang bagi melindungi hasil, ekonomi dan kepentingan negara.
Jelasnya, bagi mengekalkan momentum positif tersebut, JKDM akan memperkukuh pengurusan risiko, audit pematuhan dan operasi bersasar melalui pengoptimuman penggunaan analitik data, teknologi serta pemprofilan yang lebih efektif.
Tambahnya, tindakan terhadap komoditi berisiko tinggi, penyalahgunaan kemudahan percukaian dan ketidakpatuhan turut dipertingkatkan bagi mencegah ketirisan hasil serta mencapai sasaran kutipan 2026.
Tahun lalu, JKDM merekodkan kutipan hasil berjumlah RM76.18 bilion sehingga 31 Disember.
Bekas Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, jumlah itu lebihan RM8.93 bilion berbanding unjuran hasil awal tahun sebanyak RM67.25 bilion.
Beliau berkata, sebagai perbandingan hasil tahunan, kutipan hasil bagi tahun 2024 berjumlah RM65.57 bilion, manakala tahun lalu jumlah tersebut meningkat kepada RM76.18 bilion.
Menurutnya, peningkatan itu mencatatkan pertambahan kutipan hasil sebanyak RM10.61 bilion, bersamaan dengan kenaikan 16.18 peratus. – UTUSAN










