KULIM: Dua suspek ditahan polis bagi membantu siasatan kes letupan mercun yang menyebabkan 22 orang awam cedera termasuk seorang yang masih tidak sedarkan diri dalam kejadian, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan berkata, kedua-dua suspek yang merupakana lelaki berusia 34 tahun dan wanita berumur 23 tahun itu ditahan selepas kejadian yang berlaku di hadapan sebuah klinik di Taman Seri Limau, Lunas.
Katanya, mereka merupakan kenalan lama yang sedang melepak bersama beberapa rakan lain di kawasan terbuka tepi jalan utama di Paya Besar, di sini.
“Suspek pertama dalam keadaan mabuk ketika itu dan kemudian membeli mercun jenis kelapa berharga RM200 di sebuah khemah jualan berdekatan.
“Dia kemudian memasukkan mercun itu ke dalam sebuah selinder yang telah tersedia di tepi jalan, namun mercun tersebut tidak naik ke atas sebaliknya meletup di bawah disyaki telah dipasang oleh suspek secara terbalik kerana mabuk,” katanya di sini, hari ini.
Zulkifli berkata, kejadian itu disaksikan orang ramai yang melalui kawasan itu dan mengakibatkan seramai 22 mangsa cedera.
“Salah seorang mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala iaitu retak tengkorak bahagian dahi dan kini dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut, keadaannya masih tidak sedar,” ujarnya.
Zulkifli berkata, kedua-dua suspek itu negatif ujian saringan air kencing namun masing-masing memiliki satu rekod jenayah lampau yang telah dihukum.
Katanya, mereka kini direman sehingga 27 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Seramai 10 mangsa telah diambil keterangan dan penjual mercun berkenaan juga telah dikenalpasti dan akan dikesan untuk membantu siasatan,” katanya.
Akhbar ini semalam melaporkan, seramai 22 orang dilaporkan cedera akibat letupan mercun dipercayai dibakar sempena sambutan Deepavali di tepi jalan di Paya Besar, di sini tengah malam kelmarin.-UTUSAN










