GEORGE TOWN: Seorang doktor lelaki yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan mengaibkan dan mencabul dua pesakit wanita warga asing, Februari lalu.
Tertuduh, Goon Hoong Tatt, 43, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi dan Majistret Muhammad Amzar Ismail.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang kini bertugas sebagai Pegawai Perubatan di HPP didakwa dengan niat mengaibkan penghormatan seorang wanita warga asing dengan mengarahkannya membuka pakaian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 9.15 malam, 20 Februari lalu, di Bilik Pemeriksaan Klinikal Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang. Pendakwaan dilaksanakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan telah menyentuh dada seorang wanita warga asing. Perbuatan dilakukan pada tarikh dan lokasi sama kira-kira pukul 9.25 malam dan pndakwaan dilaksanakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, untuk pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan niat mengaibkan kehormatan seorang wanita warga asing telah menyuruh wanita berkenaan berdiri dan berlari dalam keadaan bogel. Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi dan tarikh sama pada pukul 9.30 malam. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin, manakala tertuduh diwakili peguam, N. Tishalini. Hakim, Nur Fadrina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Sementara itu, Hoong Tat berdepan satu lagi pertuduhan berasingan iaitu mengaibkan kehormatan seorang lagi wanita warga asing dengan cara mengarahkan mangsa membuka pakaian dan berlari setempat.
Tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu pada pukul 9.30 malam, 26 Februari lalu di lokasi sama. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Muhammad Amzar kemudian menetapkan wang jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selain syarat-syarat tambahan. Kesemua kes akan disebut semula pada 27 November depan. – UTUSAN










