KUALA LUMPUR: Selebriti dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi, menjelaskan sikap gila-gila yang ditonjolkannya di media sosial selepas pulang daripada misi Global Sumud Flotilla (GSF) adalah strategi untuk menarik golongan muda terhadap isu kemanusiaan.
Heliza atau Nur Heliza Helmi, 39, berkata, pendekatan santai itu digunakan kerana tidak mahu isu perjuangan mengenai Palestin hanya diketahui kelompok umur tertentu sahaja.
“Platform seperti Thread ibarat ruang santai untuk berehatkan minda, tetapi dalam masa sama menjadi jambatan membina ukhuwah dengan generasi muda.
“Apabila sudah ada hubungan dan rasa selesa, barulah saya kongsikan isu-isu besar seperti perjuangan Palestin. Kalau terus lempar isu berat, bimbang mereka tidak mahu ambil tahu,” katanya.
Heliza ditemui Utusan Malaysia pada sidang media Malam Untukmu Gaza, di sini, pada Isnin.
Menurut penyanyi lagu Mengukir Takdir itu lagi, sikap ceria dan tabah sememangnya telah menjadi sebahagian daripada personalitinya, termasuk ketika berdepan detik mencemaskan bersama tentera Zionis sewaktu delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) ditahan di perairan antarabangsa, awal bulan ini.
“Ketika ditahan tentera Israel, semangat perlu kuat. Kami genggam semangat itu sampai pulang ke tanah air kerana perjuangan ini belum berakhir.
“Kalau kami menangis dan lemah ketika ditahan, macam mana nak teruskan perjuangan ini? Alhamdulillah, Allah SWT beri kekuatan luar biasa kepada semua anggota misi GSF.
“Baru sampai Malaysia pun belum sempat berehat, semua terus menyebarkan kesedaran tentang Palestin ke seluruh negeri,” katanya.
Mengulas gelaran ‘kacip’ yang diberikan oleh warganet terhadap sikapnya yang suka mengusik anak muda di ruangan komen media sosial, Heliza menyambutnya dengan hati terbuka.
“Saya minta maaf kalau ada yang terasa atau terlebih gurau. Mungkin sebab minum air masin banyak sangat semasa dalam misi.
“Saya sendiri tak pasti apa maksud sebenar ‘kacip’. Apa yang saya faham, mungkin merujuk kepada perangai ‘masuk air’ atau ‘gila-gila’. Saya ambil positif sahaja. Boleh rujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk pengesahan,” katanya berseloroh.
Dalam perkembangan lain, Heliza bersama adiknya, Hazwani Helmi bakal memeriahkan program amal Malam Untukmu Gaza yang akan berlangsung di Kedai Emas Sri Semantan, Cawangan Jengka, Pahang, bermula jam 9 malam, Jumaat ini.
Program yang dianjurkan secara percuma itu bertujuan mengumpul dana bagi membantu rakyat Gaza yang kini berdepan penindasan.
Antara pengisian program termasuk perkongsian daripada aktivis Global Sumud Flotilla, solat hajat, qasidah serta penyerahan sumbangan kepada wakil Cinta Salam Malaysia. -UTUSAN