PETALING JAYA: Defisit fiskal negara dijangka menurun kepada 3.5 peratus pada 2026 berbanding 3.8 peratus tahun ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi konsisten kerajaan dalam menurunkan kadar defisit sejak 2022 membuktikan keberkesanan dasar ekonomi di bawah Kerangka Ekonomi Madani yang menekankan kecekapan, ketelusan dan disiplin kewangan.
“Di bawah Madani, kita tekal menurunkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus (2022), lima peratus (2023), 4.1 peratus (2024) dan bertekad mencapai 3.8 peratus (2025). Insya-Allah, tahun 2026 akan menurun lagi kepada 3.5 peratus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata, penurunan kadar defisit itu secara langsung mengurangkan keperluan pinjaman baharu kerajaan.
“Jumlah hutang baharu menurun daripada RM100 bilion pada 2022 kepada RM92 bilion pada 2023 dan RM77 bilion pada 2024 serta dijangka kekal terkawal pada 2025.
“Dengan disiplin berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan, Malaysia mampu mencapai sasaran defisit fiskal tiga peratus dalam jangka sederhana,” katanya. – UTUSAN