LONDON: Selebriti dan atlet, David Beckham mengakui lebih selesa meluangkan masa di taman yang diwarisi daripada datuknya, di Chingford, London.
Jelas Beckham, 50, setiap minggu dia akan berkunjung ke sana untuk memastikan segala tumbuhan terutamanya bunga ros mekar dengan baik.
“Datuk saya akan pastikan taman ini sentiasa kelihatan sempurna, tapi dulu, oleh sebab saya selalu main boleh di situ. Habis semua tanaman miliknya.
“Walaupun saya dan atuk tak pernah tanam pokok sama-sama tapi dia suka ajar dan tunjuk.
“Dari situ datangnya minat saya terhadap taman,” katanya.
Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, Beckham mengubah laman rumah menjadi taman yang dipenuhi tanaman seperti lobak, kubis, lobak merah dan bawang.
Malah bunga ros ditanam khas olehnya untuk Victoria serta anak perempuan mereka, Harper, 14.
Dilaporkan, bahawa taman peribadi milik pemain bola sepak itu menelan belanja ratusan ribu ringgit melibatkan kolam, rumah itik, laluan kayu serta pagar putih yang dihiasi lavender.
“Saya rasa bertuah ada tempat seperti ini semasa Covid. Waktu itu saya terfikir, kenapa tak tanam sendiri sayur dan bela ayam? Dari situlah semuanya bermula.
“Saya akan rindukan taman ini apabila saya berada di tempat lain.
“Taman ini memberi saya ketenangan dan rasa puas. Saya bina semuanya untuk keluarga, dan kini menjadi makna besar dalam hidup kami,” ujarnya.