PETALING JAYA: Kehadiran Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu program bersama Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan mencetuskan pelbagai persoalan berhubung masa depan politik parti di dalam Barisan Nasional (BN).
Menerusi hantaran Facebook Saravanan, beliau menunjukkan beberapa gambar sesi walkabout bersama Mohamed Azmin yang juga disertai beberapa pemimpin Bersatu.
Menurut Ahli Parlimen Tapah itu, beliau dan Mohamed Azmin menyaksikan majlis penyampaian sijil Malaysia Book of Records kepada Rani Gold Coverings.
“Walkabout di Bazar Deepavali di Little India, Brickfields bersama Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Azmin Ali. Kami juga berbesar hati menyaksikan majlis penyampaian sijil Malaysian Book of Records kepada Rani Gold Coverings,” katanya.
Turut hadir dalam sesi itu, Adun Taman Medan, Afif Bahardin dan Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham yang juga Adun Gombak Setia.
Krisis dalaman antara MIC dan UMNO dilapor semakin memuncak parti itu dikatakan mahu meninggalkan BN.
MIC dan MCA sedang menilai kemungkinan keluar daripada BN susulan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan mereka dalam politik nasional, terutama selepas UMNO yang diterajui Ahmad Zahid menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan.
Antara kebimbangan utama kedua-dua parti itu ialah faktor pembahagian kerusi pada pilihan raya yang memihak kepada parti penyandang dengan MCA kini memiliki dua kerusi Parlimen, manakala MIC hanya satu.-UTUSAN









