KUALA LUMPUR: ASEAN berharap China terus berdiri bersama rantau Asia Tenggara dalam mengekalkan keamanan serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemakmuran dan keselamatan tidak dapat dipisahkan dan kedua-duanya saling bergantung antara satu sama lain.
“Dengan keamanan serantau, datanglah kemakmuran bersama. Dan dengan kemakmuran bersama, terjalin rasa hormat, kepercayaan dan hubungan berpanjangan yang memungkinkan keamanan berkekalan.
“Oleh itu, ASEAN amat menghargai sokongan berterusan China dalam memastikan rantau kita kekal selamat dan damai, sambil menghormati kedaulatan serta menggalakkan kerjasama,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Tengahari bersama Menteri Pertahanan China, Dong Jun semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Mohamed Khaled turut menyifatkan China bukan sekadar rakan strategik, tetapi turut menjadi pendorong utama kepada kemakmuran global.
Katanya, peranan besar China itu perlu disertai komitmen untuk terus menjunjung undang-undang antarabangsa, menggalakkan perdamaian serta membantu mencegah sebarang konflik daripada tercetus.
“Sebagai pendorong kemakmuran global, China memikul tanggungjawab yang melebihi aspek pembangunan dan pertumbuhan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, dengan kerjasama itu juga ASEAN mengubah cabaran menjadi peluang serta menjadikan visi satu realiti.
“Kami berharap China akan terus melaksanakan peranannya yang digerakkan oleh empat Inisiatif globalnya iaitu pembangunan, keselamatan, tamadun dan tadbir urus demi manfaat rantau ini dan juga bagi membina dunia yang lebih baik untuk semua,” ujarnya.-UTUSAN









