Cadangan naik had umur pengguna media sosial kepada 16 tahun dibincang di Singapura

Cadangan naik had umur pengguna media sosial kepada 16 tahun dibincang di Singapura

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Cadangan menaikkan had umur minimum bagi pengguna media sosial kepada 16 tahun akan dibincangkan secara terperinci dalam pertemuan bersama pengendali platform media sosial dan e-dagang di Singapura, minggu hadapan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah tersebut dipersetujui secara dasar dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Menurut beliau, cadangan itu antara lain bertujuan melindungi keselamatan serta kesejahteraan pengguna muda yang semakin terdedah kepada pelbagai ancaman dalam talian.

“Jemaah Menteri pada hari ini telah membincangkan cadangan untuk menaikkan ke 16 tahun. Ini sama seperti yang ada dilakukan di beberapa negara termasuk Australia dan Indonesia.

“Cara had umur ini akan dikuatkuasakan adalah melalui pendaftaran berdasarkan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan juga MyDigital ID.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan perbicaraan yang lebih mendalam dengan syarikat-syarikat ataupun platform-platform media sosial minggu depan di Singapura,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pertemuan itu turut melibatkan wakil MCMC, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Siasatan Jenayah, Pusat Pencegahan Jenayah Nasional (NFCC) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC).

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, isu penjualan bahan berbahaya seperti senjata menerusi platform e-dagang turut akan dibincangkan dalam sesi tersebut.

Katanya, pada masa ini, beberapa kementerian dan agensi seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kesihatan (KKM), melalui MCMC, sentiasa mengambil tindakan terhadap iklan membabitkan barangan terlarang dalam media sosial dan platform e-dagang.

“Kita lihat ada kewajaran untuk kerjasama yang lebih erat antara beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPDN, KKM dan juga MCMC untuk mengenalpasti sejumlah produk atau pun perkara yang perlu diambil tindakan.

“Saya juga telah mengarahkan supaya pihak MCMC meneliti keperluan sekiranya pihak syarikat e-dagang, platform e-dagang (yang) tidak memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan memperkenalkan penalti terhadap ibu bapa yang gagal mengawasi penggunaan media sosial membabitkan kanak-kanak, Fahmi menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Sebaliknya, katanya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, akan meneliti perkara tersebut termasuk peranan ibu bapa dalam memastikan keselamatan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Menurutnya lagi, pertemuan di Singapura itu bukan diadakan susulan insiden tertentu yang berlaku baru-baru ini di sekolah, sebaliknya telah dirancang lebih awal hasil beberapa pertemuan terdahulu dengan syarikat pengendali platform. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN