BUKIT MERTAJAM : Tiga lelaki warga Nepal direman hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam seorang ibu dan anak perempuannya di Kampung Sekolah, Juru di sini, minggu lepas.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Difahamkan, salah seorang daripada lelaki tersebut merupakan suspek utama bagi kes terbabit.
Terdahulu, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dengan diiringi anggota polis kira-kira pukul 9.45 pagi tadi.
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan bahawa polis berjaya membuat tiga tangkapan baharu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sebelum ini, dua suspek termasuk suami mangsa yang berusia 57 telah direman selama tujuh hari bermula 19 Oktober lalu.
Dalam kejadian Sabtu lepas, mangsa, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11 tahun mati dibunuh dengan kejam apabila terdapat kesan tikaman dan kelar di beberapa anggota badan mereka termasuk tangan dan kepala yang hampir putus.-UTUSAN










