‘Bukan Jazz, Sinaran sebuah lagu Pop’ - Utusan Malaysia

‘Bukan Jazz, Sinaran sebuah lagu Pop’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Empat dekad telah berlalu, namun siapa sangka, lagu Sinaran kekal menjadi antara lagu paling ikonik nyanyian Datuk Sheila Majid yang digemari ramai sehingga ke hari ini.

Dilancarkan pada tahun 1986, Sinaran bukan sahaja mengangkat nama Sheila sebagai penyanyi muda berbakat besar ketika itu, tetapi juga menjadi simbol keaslian dan keanggunan muzik pop Malaysia yang bergaya antarabangsa.

Bagaimanapun, apa yang menarik, bukan lagi hanya dalam kalangan peminat lama, tetapi Sinaran turut menambat hati generasi baharu yang mengenalinya sebagai sebahagian daripada gelombang City Pop moden.

Penyanyi yang digelar ‘Ratu Jazz Malaysia’ itu tidak menafikan bahawa fenomena kebangkitan Sinaran hari ini memberi makna yang mendalam dalam perjalanan seninya.

“Saya menyedari, pada waktu Sinaran dikeluarkan dahulu, ramai tidak tahu bagaimana mahu mengkategorikan lagu itu.

“Mereka menyebut­nya sebagai Jazz, sedangkan sebenarnya ia sebuah lagu Pop yang mempunyai sedikit elemen Jazz,” katanya sambil tersenyum mengenang zaman awal kariernya bermula.

Tambah Sheila, pada era tersebut, muzik yang dibawanya dianggap agak berbeza dan mendahului waktu.

Namun kini, selepas hampir empat dekad, aliran muzik seperti yang pernah dibawanya kembali diminati oleh generasi baharu.

“Sekarang orang memanggilnya City Pop. Jadi, secara tidak langsung muzik saya menjadi bergaya semula. Ia tidak salah, Alham­dulillah, ia satu rezeki.

“Bagi saya, kebangkitan semula Sinaran di era kini, bukanlah hasil usaha terancang untuk menyesuaikan diri dengan trend semasa, sebaliknya satu kitaran semula dalam dunia muzik dan fesyen yang sentiasa berputar.

“Saya tidak pernah cuba menghasilkan muzik untuk ikut citarasa generasi muda. Tetapi muzik itu sendiri berpusing satu putaran dan kini mereka pula yang meminatinya. Saya pasti awak semua perasan akan hal ini,” jelasnya.

Selain itu, Sheila turut mengakui bahawa kebangkitan semula lagu-lagunya turut dibantu oleh barisan DJ dan penerbit muzik muda yang menghasilkan pelbagai versi remix lagu Sinaran.

“Remix ini bagus untuk saya kerana ia memperke­nal­kan lagu itu kepada generasi baharu.

“Lagu lama kembali hidup, dan anak-anak muda mula mendengar karya saya. Kerana Sinaran juga mereka mahu tahu apa lagi lagu-lagu saya yang lain dalam album-album terdahulu,” katanya.

Latihan sempena konsert
Mengajaknya berbicara mengenai konsert solo Sheila Majid 40 Years in Music di Axiata Arena Bukit Jalil pada 8 November ini, Sheila berkata, persiapan untuk konsert terbaharunya itu sudah pun bermula sejak beberapa bulan lalu dan kini memasuki fasa akhir menjelang hari persembahan.

Menurut Sheila, meskipun sibuk dengan jadual promosi dan sesi bersama media, fokus utamanya kini tertumpu kepada persiapan fizikal serta vokal agar tampil dengan prestasi terbaik di atas pentas.

“Persiapan sebenarnya sudah mula beberapa bulan lepas. Untuk muzik pula, kami baru masuk studio minggu lepas dan Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti dirancang.

“Lepas sibuk dengan sesi promosi, saya nak fokus pada persiapan kostum, kasut dan hal-hal lain menjelang hari sebenar,” ujarnya.

Mengulas tentang persiapan fizikal, Sheila mengakui dia menganggap dirinya seperti seorang atlet yang perlu sentiasa berada dalam keadaan cergas dan bersedia demi persembahan konsert yang mantap.

“Kalau tengok Instagram saya, memang saya konsisten berjalan setiap hari. Saya anggap itu sebahagian daripada kerja saya. Sebagai penyanyi, kita ni sebenarnya dah macam atlet, jantung kita adalah suara. Kita kena sentiasa berlatih.

“Kalau seorang pelari perlu buat 50 pusingan dalam pertandingan, dia mesti berlatih 100 pusingan supaya bila hari sebenar, 50 itu rasa senang.

“Sama juga dengan saya. Kalau ada 25 lagu untuk konsert, setiap lagu saya nyanyi dua kali masa latihan. Kalau tak betul, buat lagi tiga atau empat kali. Jadi bila sampai hari sebenar, 25 lagu tu rasa macam tak ada apa,” katanya sambil tersenyum.

Menariknya, Sheila juga mengakui, dia bukanlah peminat aktiviti latihan pada awalnya, namun kini belajar menikmatinya selepas menyedari kepentingannya terhadap mutu persembahan.
“Dulu saya memang tak suka berlatih. Bila orang kata, ‘kena berlatih,’ saya rasa nak tidur sahaja,” selorohnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN