LANGKAWI: Pengusaha bot tambang di Pulau Tuba melahirkan kebimbangan selepas tidak lagi menikmati kemudahan petrol bersubsidi bagi menggerakkan operasi harian mereka.
Pengerusi Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad (Koptubas), Mohd. Fadzlan Nor berkata, kenaikan harga RON95 kepada RM2.60 seliter menyebabkan kos operasi melonjak sekali ganda.
Pengusaha yang sebelum ini belanja RM600 sehari untuk membeli petrol, kini mencecah RM1,000 dan ia amat membebankan kerana harga tambang masih kekal RM5 seorang sehala.
“Kami mungkin terpaksa menilai semula kadar tambang. Justeru berharap kerajaan meneliti semula dasar pemberian subsidi agar pengusaha bot tambang turut dipertimbangkan. Jika harga dinaikkan, penduduk yang bergantung pada perkhidmatan kami pasti menerima kesannya,” katanya.
Dianggarkan pengusaha bot tambang ke Pulau Tuba sebanyak 20 buah manakala bot pelancong 600 buah yang menawarkan aktiviti mengelilingi pulau-pulau di sekitar Langkawi.
Pulau Tuba merupakan destinasi penting di Langkawi dengan penduduk dan pelancong bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan bot untuk berulang-alik dari jeti Kuah.
Pengusaha bot pelancong, Rezam Saad, berkata penggunaan petrol bagi pengangkutan air tidak menentu kerana bergantung kepada cuaca dan jumlah perjalanan harian. – UTUSAN










