BUDI95: MEDO gesa kerajaan guna 'soft landing' bantu komuniti pemandu

BUDI95: MEDO gesa kerajaan guna ‘soft landing’ bantu komuniti pemandu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Hanya satu perempat daripada hampir 200,000 pemandu aktif e-hailing (kereta) dan p-hailing (motosikal) dilaporkan layak menerima manfaat tambahan 600 liter petrol bersubsidi di bawah inisiatif BUDI95 ketika ini.

Presiden Malaysia E-Hailing & Delivery Organization (MEDO), Masrizal Mahidin atau Jose Rizal ketika mendedahkan perkara itu berkata, hal ini demikian berlaku kerana, syarat-syarat teknikal yang diberi terlalu ketat dan tidak mengambil kira variasi model operasi sebenar.

Beliau berkata, walaupun niat kerajaan untuk menyalurkan subsidi petrol secara bersasar amat dialu-alukan, namun, pendekatan pelaksanaan sedia ada masih belum menggambarkan realiti sebenar operasi di lapangan.

Katanya, situasi ini seterusnya menjadikan ramai pemandu aktif khususnya di luar bandar gagal untuk mencapai had minimum yang ditetapkan walaupun hakikatnya mereka membelanjakan jumlah petrol yang jauh lebih tinggi.

“Antara syarat kelayakan yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan APAD sebelum ini termasuk, pemohon mestilah warganegara Malaysia iaitu mempunyai kad pengenalan yang sah dan memegang lesen PSV yang aktif.

“Selain itu, pemohon juga perlu mempunyai Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) sah daripada syarikat e-hailing berdaftar dan telah melengkapkan sekurang-kurangnya 3,000 kilometer (km) tempahan merentas semua platform berdaftar.

“Namun, berdasarkan pemerhatian dan aduan komuniti, data kilometer yang direkod oleh platform tidak mencerminkan jumlah jarak sebenar yang dilalui pemandu.

“Ini kerana data tersebut hanya mengambil kira jarak dari Pickup Point A ke Drop-Off Point B, sedangkan kos sebenar pemandu turut melibatkan jarak tambahan dari lokasi semasa (Point X) ke Pickup A, dan juga dari Drop-Off B ke tempahan seterusnya (Next Pickup),” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Masrizal memaklumkan, situasi tersebut menjadikan ramai pemandu aktif khususnya di luar bandar gagal mencapai had minimum yang ditetapkan walaupun hakikatnya mereka membelanjakan petrol yang jauh lebih tinggi.

“Dalam hal ini, MEDO berpandangan bahawa kelemahan dalam penyelarasan data dan metodologi pengiraan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) bersama platform e-hailing menjadi punca utama berlakunya penyisihan yang tidak adil ini,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru kerajaan supaya melaksanakan pendekatan berbentuk ‘soft landing’ dalam menambah baik pelaksanaan BUDI95, supaya tidak menjejaskan moral dan kepercayaan komuniti pemandu.

Di bawah pendekatan itu katanya, kerajaan perlu melaksanakan semula dasar tersebut secara berperingkat dengan penilaian kelayakan dibuat berdasarkan tempoh aktif dan purata trip bulanan serta merangka tempoh penyesuaian atau ‘grace period’ sekurang-kurangnya tiga bulan bagi membolehkan data sebenar dikumpul dan disemak semula.

“Selain itu, perlu ada kerjasama langsung antara MOF, APAD dan organisasi komuniti pemandu seperti MEDO bagi memastikan suara lapangan diambil kira sebelum dasar dimuktamadkan,” katanya yang juga mahu pelaksanaan struktur tambang berbeza bagi warganegara dan bukan warganegara dibuat untuk mengelakkan berlakunya ketirisan subsidi petrol RON95.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN