Budi Madani RON95 pemangkin keseimbangan fiskal, kesejahteraan rakyat - Utusan Malaysia

Budi Madani RON95 pemangkin keseimbangan fiskal, kesejahteraan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar RON95 melalui program Budi Madani RON95 (BUDI95) disifatkan sebagai langkah strategik yang bakal menjadi penentu awal arah fiskal negara dan kesejahteraan rakyat.

Menurut Penganalisis Ekonomi dan Pasaran, Datuk Dr. Nazri Khan, inisiatif tersebut bukan sekadar langkah penjimatan, tetapi satu pelaburan semula terhadap masa depan ekonomi negara yang lebih mampan dan berkeadilan.

“BUDI95 adalah manifestasi komitmen kerajaan terhadap reformasi subsidi yang lebih adil dan mampan. Ia memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menjelang pembentangan Belanjawan Madani 2026 esok, Nazri menjangkakan tumpuan kerajaan akan tertumpu kepada pengukuhan disiplin fiskal, pengurangan defisit dan kesinambungan dasar subsidi bersasar berasaskan data melalui sistem PADU.

“Belanjawan 2026 dijangka mengekalkan keseimbangan antara tanggungjawab sosial dan realiti fiskal negara. Setiap ringgit mesti dibelanjakan secara optimum,” katanya.

Menurutnya, kejayaan pelaksanaan BUDI95 bakal menjadi indikator utama keberkesanan dasar fiskal kerajaan, selain memberi ruang fiskal baharu untuk menyalurkan dana ke sektor bernilai tambah tinggi seperti pendidikan teknikal, kesihatan awam, dan infrastruktur digital.

“Penjimatan daripada rasionalisasi subsidi bahan api boleh digunakan untuk projek berimpak sosial dan ekonomi yang lebih besar kepada rakyat,” katanya.

Nazri turut menegaskan bahawa pelaksanaan BUDI95 berpotensi menjadi kayu ukur kredibiliti kerajaan dalam mengurus fiskal secara berdisiplin tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial terhadap golongan berpendapatan rendah.

“Sebelum ini kerajaan menanggung beban subsidi RON95 hampir RM20 bilion setahun, namun dengan pelaksanaan subsidi bersasar, unjuran penjimatan fiskal dianggarkan sekitar RM8 bilion setahun.

“Penjimatan ini amat kritikal. Ia bukan sahaja mengurangkan defisit fiskal dan kebergantungan kepada hutang, malah meningkatkan kredibiliti Malaysia di mata pelabur antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, BUDI95 juga akan menjadi pemangkin kepada reformasi fiskal yang lebih menyeluruh sekiranya pelaksanaannya berjalan lancar dan diterima rakyat.

“Jika berjaya, kerajaan berpeluang mengurangkan lagi subsidi bahan api secara berperingkat dan menyalurkan penjimatan tambahan ke sektor produktif seperti digitalisasi, pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Bagaimanapun, Nazri turut mengingatkan agar kerajaan berhati-hati dalam pelaksanaannya supaya pengurangan subsidi tidak memberi tekanan berlebihan kepada rakyat, sambil menekankan kepentingan pelaksanaan secara berfasa dengan mekanisme pampasan yang kukuh kepada golongan rentan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN