BUTTERWORTH : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang memohon orang ramai supaya melaporkan sebarang salah laku membabitkan manipulasi meter pam subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95).
Pengarahnya, S. Jegan bekata, aduan rasmi itu perlu dikemukakan supaya laporan berkenaan dapat disiasat sebelum tindakan selanjut diambil.
Beliau berkata, bagaimanapun, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan gangguan sistem atau masalah pengisian minyak di mana-mana stesen minyak di negeri ini.
“Kalau benar ada berlaku perkara sedemikian, laporkan ikut saluran rasmi dan jangan tularkan kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.
“Bukan mudah untuk menukar atau menyeleweng mekanisme meter pam minyak di stesen-stesen seperti yang didakwa, malah, sistem kalibrasi pam sentiasa disahkan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai dakwaan pengguna bahawa isian petrol mereka kurang daripada biasa sejak pelaksanaan BUDI95.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Ali sebelum ini menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat unsur meragukan susulan penyasaran subsidi diesel dan petrol yang dilaksanakan bertujuan untuk mengekang ketirisan.-UTUSAN