KUALA LUMPUR: Malaysia menerima sokongan penuh daripada Brazil untuk menjadi negara anggota penuh Kumpulan Ekonomi BRICS di bawah kepengerusian Brazil.
Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva berkata, walaupun Malaysia kini merupakan negara rakan BRICS, Brazil komited untuk menyokong kemasukan Malaysia sebagai ahli penuh dalam blok ekonomi berpengaruh itu.
“Perkara utama yang anda tanyakan kepada saya ialah sama ada saya mahu Malaysia menyertai BRICS. Saya ingin menyatakan Malaysia akan menerima sokongan penuh daripada Brazil untuk menjadi ahli penuh BRICS,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.
Lula berkata, Malaysia ketika ini merupakan negara rakan BRICS, namun hubungan erat dan potensi besar ekonomi negara ini wajar diperluas melalui keanggotaan penuh.
Katanya, sokongan itu juga mencerminkan keyakinan Brazil terhadap kemampuan Malaysia memainkan peranan penting dalam memperkukuh struktur ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif.
“Saya kagum dengan Malaysia khususnya terhadap rakyat dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sangat mesra dan berwawasan.
“Saya meninggalkan Malaysia dengan tanggapan yang amat positif. Pertama sekali kerana keramahan kerana di mana sahaja saya pergi, terasa seolah-olah saya sudah mengenali semua orang.
“Saya juga amat terkesan dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pertemuan bersama kerajaan dan pemimpin-pemimpin lain,” katanya.
Di bawah kepimpinan Brazil, BRICS memberi tumpuan kepada enam bidang keutamaan iaitu kesihatan global, perdagangan, pelaburan dan kewangan, perubahan iklim, kecerdasan buatan, pembaharuan sistem pelbagai hala keamanan dan keselamatan dan pembangunan institusi BRICS.
Untuk rekod, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Brazil telah mencecah RM20.35 bilion, meningkat sebanyak 14.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan Brazil merupakan antara pasaran utama Malaysia di Amerika Latin khususnya bagi produk elektrik, elektronik dan getah.-UTUSAN










