Bomba sahkan kedua-dua mangsa rentung adalah lelaki

Bomba sahkan kedua-dua mangsa rentung adalah lelaki

MAYAT salah seorang daripada mangsa yang rentung dalam kemalangan di Jalan Pekan Darat menghala ke Sungai Lokan, Butterworth, Pulau Pinang hari ini dibawa menaiki kenderaan logistik polis untuk ke hospital bagi urusan bedah siasat.-GAMBAR/JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kedua-dua individu yang dipercayai rentung  dalam sebuah kereta yang terbakar akibat kemalangan di Jalan Pekan Darat menghala ke Sungai Lokan di sini, pagi tadi dipercayai lelaki.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, perkara itu disahkan berdasarkan bentuk fizikal mangsa ketika kerja-kerja menyelamat dilakukan.

Beliau berkata, identiti sebenar kedua-dua mangsa terbabit bagaimanapun masih dalam siasatan buat masa ini.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut kira-kira pukul 7.09 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota yang terdiri daripada tujuh orang bersama seorang penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth ke lokasi.

Katanya, turut serta dalam operasi itu ialah Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kepala Batas, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan beberapa anggota polis.

“Salah seorang daripada mangsa dijumpai berada di luar kereta manakala seorang lagi mangsa berada dalam kereta tersebut ketika kebakaran berlaku dan anggaran kemusnahan pada kereta jenis Proton Saga BLM berwarna perak itu adalah sebanyak 80 peratus.

“Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM yang turut berada di lokasi kejadian dan mayat seterusnya telah dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) dengan menaiki kenderaan logistik polis bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Tambah beliau, operasi tersebut tamat sepenuhnya kira-kira pukul 10.55 pagi tadi dan kes diserahkan kepada Pasukan Forensik Kebakaran (FIO) untuk siasatan lanjut.

Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, dua individu dipercayai rentung selepas terperangkap dalam sebuah kereta yang terbakar susulan satu kemalangan di laluan berkenaan.

Rakaman video mengenai kemalangan tersebut juga tular di media sosial khususnya laman Facebook.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN