PETALING JAYA: Kerjasama awam-swasta melalui Projek Rakan Tani Pintar yang berasaskan sistem kecerdasan buatan (AI) oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) baru-baru ini bakal memacu perubahan berinovasi dalam sektor penanaman padi negara.
Inisiatif ini menyokong usaha peningkatan pengeluaran hasil padi menggunakan teknologi terkini yang mudah dan mesra pengguna, sesuai untuk kegunaan golongan pesawah di negara ini.
Ketua Jabatan Pengurusan Ladang BERNAS, Mohd Zakri Zulkafli berkata, projek ini merupakan satu kerjasama di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Digital, Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), BERNAS dan The Hive Global AI Village.
“Inisiatif ini yang menggunakan aplikasi AI co-pilot yang pertama dalam sektor penanaman padi di Malaysia, berfungsi sebagai ‘pakar pertanian’ dalam memberikan nasihat, garis panduan dan cadangan harian kepada pesawah melalui aplikasi WhatsApp.
Melalui Rakan Tani Pintar AI, kita mahu menguruskan sawah secara lebih efisien menggunakan teknologi supaya hasil dapat ditingkatkan.
Pelaksanaan projek ini adalah seiring dengan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh keterjaminan makanan. Bajet 2026 yang dibentangkan telah memperuntukkan subsidi pertanian terbesar dalam sejarah berjumlah RM2.62 bilion bagi membantu pesawah tempatan.
Selain itu, langkah memperluaskan insentif cukai automasi bagi sektor pertanian dijangka dapat mempercepatkan adaptasi teknologi moden dan menggalakkan amalan pertanian pintar. Inisiatif seperti Rakan Tani Pintar AI turut menyokong usaha ini di peringkat akar umbi dengan membolehkan pesawah memanfaatkan teknologi secara langsung dalam aktiviti harian mereka.
RAKAN TANI SEBAGAI ‘PAKAR PENASIHAT’ DI HUJUNG JARI PESAWAH
Menurut Zakri, Rakan Tani Pintar AI membolehkan pesawah memperolehi panduan khusus bermula daripada proses penyediaan, semaian, penggunaan baja, kawalan racun sehinggalah ke peringkat menuai.
“Kelebihan utama sistem ini ialah setiap nasihat diperibadikan mengikut umur padi, varieti tanaman dan keadaan setempat, berbeza dengan panduan umum di internet.
“Contohnya, sistem akan mencadangkan aktiviti seperti pembajaan atau kawalan perosak dan penyakit pada masa yang tepat mengikut varieti padi dan peringkat penanaman. Ia turut memberikan gambaran awal tentang kesan yang boleh dilihat secara fizikal padapokok padi selepas aktiviti tersebut dilaksanakan,” katanya.
Tambahnya, aplikasi itu juga akan mengintegrasikan data cuaca setempat bagi menentukan waktu terbaik menjalankan aktiviti sawah.Misalnya, apabila nak meracun, sistem akan mengingatkan supaya elak ketika hujan atau angin kuat bagi mengelakkan pembaziran dan memelihara ekosistem alam sekitar.
“Pesawah juga boleh menghantar mesej suara di samping teks dalam bahasa Melayu, Inggeris malah dialek negeri seperti Kelantan dan Sarawak. Kita mahu pesawah selesa berinteraksi tanpa perlu risau guna bahasa baku,” katanya.
Beliau berkata, sistem yang bakal menjadi rakan pintar kepada pesawah itu juga turut menyimpan rekod tanaman sejak mula proses penanaman, sekali gus memudahkan pesawah memantau perkembangan sawah dari semasa ke semasa dan boleh menjadi rujukan untuk perancangan penanaman musim hadapan.
MENARIK GOLONGAN MUDA DAN LONJAKAN PRODUKTIVITI
Zakri berkata , penggunaan teknologi moden seperti teknologi jentera mesin, dron, Internet Kebendaan (IoT), AI adalah kunci untuk memodenkan sektor pertanian negara untuk pengurusan sawah yang lebih efisien ke arah produktiviti optimum.
Kita mahu tarik lebih ramai pesawah muda kerana kini sejumlah besarnya adalah golongan yang berusia 60 tahun ke atas. Pertanian perlu dilihat profesional dan berteknologi tinggi supaya generasi baru kini berminat.
“Bila mereka lihat sektor ini sudah moden, mereka tidak lagi menganggap kerja sawah sebagai beban, tetapi satu kerjaya berteknologi, pulangan tinggi dan mampan,” katanya.
Projek perintis Rakan Tani Pintar AI akan dijalankan di kawasan sawah padi melibatkan beberapa kumpulan pesawah selama 10 minggu.
“Maklum balas ini akan digunakan untuk menambah baik sistem sebelum dikomersialkan ke seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, katanya, pesawah berdaftar negara dijangka bakal mendapat manfaat selepas dilancarkan pada awal tahun 2026 nanti.
SISTEM RAKAN TANI AI MUDAH DIGUNAPAKAI
Katanya, walaupun pada mulanya ada kebimbangan tentang kesukaran menggunakan sistem, namun maklum balas yang diterima amat positif selepas ditunjukkan cara berfungsi.
“Pesawah kata mudah digunakan kerana mereka sudah terbiasa menggunakan WhatsApp, manakala pegawai lapangan kita juga turut memberi tunjuk ajar secara langsung.
“Fokus kita adalah meningkatkan hasil padi, menurunkan kos dan menjamin keuntungan pesawah. Secara keseluruhan, Rakan Tani Pintar AI bukan sekadar projek berimpak tinggi dan berpandukan teknologi, ia juga menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras kepada 80 peratus menjelang 2030 melalui inisiatif-inisatif di antaranya juga ialah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB),” katanya kepada Utusan Malaysia.-UTUSAN










