Belanjawan 2026: Tingkat infrastruktur, ketersambungan kukuh sektor penerbangan

Belanjawan 2026: Tingkat infrastruktur, ketersambungan kukuh sektor penerbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Langkah kerajaan menerusi Belanjawan 2026 yang terus memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur dan peningkatan ketersambungan udara negara mampu memperkukuhkan sektor penerbangan.

Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Izani Ghani, ia sekali gus boleh meningkatkan kedatangan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Katanya, antara inisiatif utama yang disokong menerusi Belanjawan 2026 ialah pelaksanaan kemudahan Inter-Terminal Transfer di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selain penaiktarafan lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri.

Penambahbaikan turut akan dilakukan di STOLport seperti Marudi dan Redang bagi memperkukuh kesiapsiagaan rangkaian lapangan terbang negara.

“Ini dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi serta keperluan pelancongan domestik dan antarabangsa.

“Peruntukan geran padanan RM50 juta bagi menggalakkan penerbangan antarabangsa dan carter ke Malaysia dijangka merancakkan ketersambungan global serta menarik lebih ramai pelancong ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Izani turut menyambut baik sokongan kerajaan terhadap pembangunan Hab Logistik dan Serantau Selangor Park serta pengembangan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) sebagai hab industri aeroangkasa.

Katanya, ia mampu mempercepat pertumbuhan ekosistem penerbangan negara dan menjadikan Malaysia sebagai pusat penerbangan serantau utama.

Sejak penswastaan Malaysia Airports pada awal tahun ini, jelas beliau, tumpuan organisasi itu diberikan kepada tiga teras utama iaitu perkhidmatan, pertumbuhan dan kapasiti.

“Tahun 2025 menyaksikan kemajuan berterusan dalam pembangunan infrastruktur lapangan terbang, termasuk siapnya naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh yang kini mampu menampung 700,000 penumpang setahun.

“Selain itu pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu yang dijangka siap pada 2026 dengan kapasiti sehingga empat juta penumpang setahun,” katanya.

Beliau menambah, peningkatan ketersambungan udara serta kemasukan 10 syarikat penerbangan baharu ke pasaran Malaysia tahun ini membuktikan keyakinan berterusan terhadap Malaysia sebagai hab penerbangan utama rantau ini.

“Kami kekal komited memperkasa ekonomi dan pelancongan negara melalui pembangunan lapangan terbang yang moden, efisien dan berdaya saing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN