PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar pembentangan Belanjawan 2026 berjalan lancar esok mengikut perancangan sebaiknya.
Perdana Menteri malah berdaoa agar semuanya dipermudahkan selepas Kementerian Kewangan bertungkus-lumus menyediakan Belanjawan 2026 iaitu siri keempat Belanjawan Madani.
“Doakan semuanya selamat, insya-Allah,” kata Anwar ketika ditemui pemberita selepas meninjau persiapan akhir di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba kira-kira 3 petang disambut oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Sejurus tiba, Anwar bergambar dengan pengurusan tertinggi setiap kumpulan yang terbabit dalam penyediaan Belanjawan 2026 di lobi utama Kementerian Kewangan.
Perdana Menteri kemudiannya menandatangani semua dokumen berkaitan Belanjawan 2026.
Semasa tinjauan kira-kira setengah jam itu, Perdana Menteri turut beramah mesra dengan petugas yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2026 di Dewan Utama di lobi Kementerian Kewangan.
Seramai 320 orang terbabit dalam penyediaan Belanjawan 2026 terdiri daripada Bahagian Cukai, Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Bahagian Antarabangsa, Pejabat Belanjawan Negara dan Pasukan Bajet. – UTUSAN