KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dapat mengimbangi defisit negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana sejak 2022 sehingga 2025, berlakunya penurunan defisit sangat ketara, selain ketidaktentuan ekonomi ketika ini.
“Kita nampak daripada tahun 2022, 2023, 2024 dan 2025, nampak penurunan defisit yang sangat ketara dan dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi ini pun, kita masih lagi membentangkan bajet dengan defisit hanya 3.5 peratus.
“Dari konteks ini, kita nampak adalah tidak mudah untuk membentangkan bajet ini terutama apabila hutang kita juga bertambah RM1.3 trilion.
“Kemudian defisit ini kita sentiasa komited, nak menunjukkan bahawa kita mengawal kadar hutang walaupun hutang itu masih lagi kita pinjam, ditambah lagi kira-kira RM70 bilion kalau dibandingkan empat tahun lepas,” katanya selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat. – UTUSAN










