KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi memberi tumpuan utama kepada usaha membantu pekebun kecil melaksanakan tanaman semula pokok kelapa sawit yang berusia antara 24 hingga 25 tahun.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu amat penting bagi memastikan pengeluaran hasil dan pendapatan eksport negara tidak merosot akibat pokok sawit tua yang semakin kurang produktif.
“Bila pokok sawit dah mencecah umur 24 atau 25 tahun, hasilnya semakin berkurang. Kalau kita tak tanam semula, pengeluaran menurun, dan akhirnya eksport serta pendapatan negara juga terjejas,” katanya selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, semalam.
Johari turut menjelaskan cabaran utama ketika ini ialah pekebun kecil tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menanggung kos tanaman semula yang tinggi dan kerajaan melalui kementerian menyalurkan bantuan dan geran bersasar untuk meringankan beban mereka.

“Ramai pekebun kecil tidak mampu pinjam duit untuk tanam semula. Sebab itu kementerian akan bantu, supaya mereka boleh ganti pokok tua dengan yang baharu dan kekal produktif,” jelasnya.
Katanya, meskipun jumlah bantuan sedia ada masih belum mencukupi, kerajaan komited menilai semula kadar sokongan dan menambah baik skim bantuan sedia ada bagi memastikan semua pekebun kecil dapat menikmati manfaat secara menyeluruh.
“Kalau tanya saya, memang tidak cukup. Tetapi kita sedar 27 peratus ladang sawit di Malaysia milik pekebun kecil, jadi mereka tidak boleh kita abaikan,” katanya.
Johari juga menekankan bahawa sektor kelapa sawit kekal menjadi tonggak utama eksport negara, dengan nilai eksport tahunan antara RM115 bilion hingga RM120 bilion, dan hampir RM110 bilion daripadanya kekal dalam ekonomi domestik.
“Hasil sawit ini sepenuhnya milik kita. Ia berbeza dengan semikonduktor yang banyak bergantung kepada import. Sebab itu penting kita pastikan tanaman semula berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN