ALOR SETAR: Trend banjir di negeri ini menunjukkan penurunan apabila jumlah penduduk yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 770 orang.
Tiga daerah masih terjejas dengan bencana itu iaitu Pendang dengan 580 mangsa daripada 162 keluarga yang kini berada di tiga PPS yang diaktifkan sejak Sabtu lalu.
Data Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah turut merekodkan 138 mangsa daripada 38 keluarga di sebuah PPS di Kota Setar.
Manakala Pokok Sena hanya tinggal 52 mangsa daripada 16 keluarga, juga di sebuah PPS yang dibuka pada Sabtu lalu.
Difahamkan, cuaca baik tanpa hujan sejak kelmarin membantu faktor penurunan mangsa di PPS sementara tiada lagi sungai yang dikategorikan pada paras bahaya buat masa ini. – UTUSAN








