TAIPING: Seramai 2,171 mangsa banjir daripada 759 keluarga telah dipindahkan ke 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di Perak berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak yang dikeluarkan pada pukul 8 pagi tadi, dua daerah yang terjejas ialah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung dengan trend jumlah mangsa menunjukkan peningkatan berbanding pukul 6 pagi.
Daerah LMS mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,784 mangsa daripada 638 keluarga yang kini berlindung di 19 PPS termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, Masjid Al Wusta Batu 8, Dewan Perdana Trong dan Masjid Changkat Jering.
Sementara itu, di Manjung, seramai 387 mangsa daripada 121 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Sungai Batu di Pantai Remis, SAR Padang Serai di Pengkalan Baru dan SK Beruas.
Antara kawasan yang terjejas di LMS termasuk Kampung Ulu Sepetang, Kampung Batu 8, Kampung Jelapang Jaya, Kampung Matang Gelugor, Taman Simpang Makmur serta beberapa taman perumahan di sekitar Trong dan Taiping.
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Kerian di Selama kini berada pada paras bahaya iaitu 12.10 meter manakala Sungai Kurau di Batu 14 mencatat 22.20 meter, hampir mencapai paras amaran.
Berdasarkan laporan sama, paras air di Empangan Bukit Merah berada pada 8.19 meter (78.82 peratus simpanan) manakala Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta kekal penuh dengan kapasiti 100 peratus.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan berterusan di beberapa kawasan termasuk Kerian, LMS dan Manjung dengan keadaan cuaca dijangka kekal tidak menentu sepanjang hari.
Antara agensi yang terbabit dalam operasi pemindahan ialah Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
JPBN Perak memaklumkan, pemantauan rapi sedang dijalankan di kawasan berisiko tinggi dan menasihatkan orang ramai agar berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.- UTUSAN










