ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah semakin meruncing apabila bilangan mangsa yang berpindah meningkat kepada 1,858 orang di empat daerah yang terjejas setakat ini.
Sehingga pukul 8 pagi ini, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, kesemua mereka adalah dari 587 keluarga di Kulim, Baling, Pokok Sena dan Kuala Muda.
Baling dan Pokok Sena menjadi daerah terbaharu yang terjejas apabila masing-masing 251 dan 85 orang daripada 114 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah itu.
Sementara Kulim terus mencatatkan jumlah mangsa teramai dengan 1,470 penduduk yang terus berada di lapan PPS membabitkan 449 keluarga.
Manakala 52 mangsa daripada 24 keluarga di Kuala Muda terus berlindung di sebuah PPS setelah kediaman mereka di Kampung Huma, Tanjung Dawai dilanda ombak besar dan air pasang.
JPBN turut memaklumkan lima sungai di empat daerah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Chepir di Sik; Sungai Ketil di Baling; Sungai Laka di Kubang Pasu serta Sungai Pendang dan Sungai Titi Kerbau di Pendang.
Sungai Laka; Sungai Pendang dan Sungai Titi Kerbau menunjukkan trend menaik sehingga pukul 7 pagi tadi, manakala dua sungai lagi semakin menurun. – UTUSAN










