Azlan Al Amin tidak mengaku rosakkan kereta jurujual kad sim telekomunikasi

Azlan Al Amin tidak mengaku rosakkan kereta jurujual kad sim telekomunikasi

MOHAMAD Azlan Abdullah@Ali (dua dari kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Besut, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Usahawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 38, atau dikenali sebagai Azlan Al Amin dan adiknya, Mohd. Mustakim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini  atas pertuduhan merosakkan kereta seorang jurujual kad sim telekomunikasi, Khamis lalu.

Kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) itu membuat pengakuan berkenaan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Azlan dan Mohd. Mustakim didakwa merosakkan sebuah kereta Perodua Bezza dinaiki Wan Hafizie Wan Mohamd, 36, yang menyebabkan kerugian RM5,000.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan kedua-dua OKS di hadapan rumah mereka di Kampung Pengkalan Buluh, Jerteh di sini pada pukul 11 malam, 23 Oktober lalu.

Mohamad Azlan dan Mohd. Mustakim didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sakit kesalahan.

Mohd. Mustakim bersama tiga pekerja Mohamad Azlan lain iaitu Ramli Mohd., 56; Muhammad  Shafiq Hakimi Hussain, 21 dan Muhammad Haiqal Mirzan Mohd. Mazli, 23, turut menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan Wan Hafizie pada lokasi, masa dan tarikh sama.

Kesemua tertuduh yang mengaku tidak  bersalah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Wan Hafizie pula dihadapkan atas dua pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Mohamad Azlan dan Mohd. Mustakim pada lokasi, waktu dan tarikh sama.

Dia yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Fadhli membenarkan Mohd. Mustakim dibebaskan dengan wang jaminan RM7,500; Mohamad Azlan (RM6,000); Ramli, Muhammad Shafiq Hakimi dan Muhammad Haiqal Mirzan (RM1,500) serta Wan Hafizie (RM500) dan masing-masing seorang penjamin.

Beliau menetapkan sebutan semula bagi kes Wan Hafizie pada 17 November ini manakala Mohamad Azlan, Mohd. Mustakim, Ramli, Muhammad Shafiq Hakimi dan Muhammad Haiqal Mirzan pula pada 24 November depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Najah Azhar dan Muhammad Akmal Mohd Jazlee.

Peguam Ahmad Adha Amir Yasser mewakili Mohamad Azlan, Mohd. Mustakim, Ramli, Muhammad Shafiq Hakimi dan Muhammad Haiqal Mirzan manakala Wan Hafizie pula diwakili peguam, Mohd. Fakhrul Fikri Mokhtar.

Terdahulu, semua enam lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan disebabkan salah faham berlaku di hadapan rumah Mohamad Azlan yang tular dalam media sosial. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN