PETALING JAYA: Kerangka ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3) perlu mempercepatkan penubuhan Rizab Bekalan Perubatan ASEAN+3 bagi kecemasan kesihatan awam sebagai langkah bersiap siaga menghadapi sebarang krisis kesihatan masa hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut penting dalam memastikan rantau ini mempunyai keupayaan tindak balas pantas sebarang wabak dan bencana kesihatan serta mengukuhkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat seluruh Asia Timur.
Katanya, negara dalam kerangka ASEAN+3 perlu mempertingkatkan usaha memperkukuh penglibatan dan kerjasama serantau yang menjadi kunci utama kepada kestabilan dan keamanan Asia Timur.
“Hampir tiga dekad berlalu, kerangka ASEAN+3 kekal sebagai salah satu rangka kerja dialog dan kerjasama yang paling utuh. Ditubuhkan selepas krisis kewangan Asia pada 1996, ASEAN+3 berjaya mengharungi pelbagai krisis lain seperti krisis kewangan 2008 dan terbaharu, pandemik Covid-19.
“Pengalaman ASEAN+3 menunjukkan bahawa cabaran bersama boleh ditukar menjadi kekuatan. Sehubungan itu, kita mesti menggandakan usaha dalam penglibatan dan kerjasama, yang kekal sebagai kunci kepada kestabilan,” katanya dalam Ucapan Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN+3 ke-28 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN+3 Ke-28 yang disertai China, Korea Selatan dan Jepun itu dihadiri Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung; Perdana Menteri China, Li Qiang dan Menteri Luar Jepun, Motegi Toshimitsu.
Anwar berkata, ASEAN+3 perlu memastikan pertumbuhan adil dan kemakmuran yang dikongsi secara meluas dan kemajuan membawa keamanan.
“Kita juga perlu mempersiapkan golongan belia dan wanita untuk rantau Asia Timur yang mampan, inklusif dan saling berhubung.
“Saya menantikan penglibatan yang membina mengenai masa depan kerjasama ini, di mana Asia Timur terus menjadi tapak kelahiran kestabilan, peluang dan harapan,” katanya.-UTUSAN









